KUALA LUMPUR 13 Mac – Bursa Malaysia Securities Berhad menerbitkan kertas rundingan untuk mendapatkan pandangan orang awam mengenai cadangan perubahan peraturan yang membolehkan penyenaraian dan perdagangan dana dagangan berasaskan mata wang digital.
Langkah ini dibuat susulan semakan terbaru Garis Panduan Dana Dagangan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 2 Mac 2026, yang kini membenarkan tawaran dana dagangan mata wang digital di bawah rangka pengawalseliaan yang lebih kukuh dan telus.
Bursa Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan dana dagangan mata wang digital direka untuk memberi pelabur pendedahan yang terkawal dan telus terhadap mata wang digital melalui produk pasaran modal yang diterima ramai.
“Bursa Malaysia menyokong penyenaraian dana dagangan ini sebagai sebahagian daripada usaha memperluas dan mempelbagaikan jenis dana dagangan yang tersedia kepada pelabur.
“Inisiatif ini juga sejajar dengan Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030, yang bertujuan membuka akses kepada peluang pelaburan di luar kelas aset tradisional dan menyokong pembangunan pasaran modal Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu.
Cadangan perubahan peraturan melibatkan pengemaskinian syarat penyenaraian pasaran utama dan arahan Bursa Malaysia, khususnya berkaitan pendedahan maklumat yang lebih terperinci untuk meningkatkan ketelusan kepada pelabur.
Antara cadangan utama adalah pendedahan maklumat penting berkaitan dana dagangan mata wang digital dalam pengumuman segera dan laporan tahunan, serta penyediaan kenyataan pendedahan risiko yang perlu ditandatangani pelabur sebelum membuat pelaburan.
Menurut Bursa Malaysia, langkah ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran dan pendidikan risiko pelabur, malah memperkukuh perlindungan pelabur dalam pasaran yang semakin berkembang.
Orang awam dan pelabur dijemput untuk memberikan pandangan mereka mengenai cadangan perubahan peraturan ini sehingga 10 April 2026 melalui laman rasmi Bursa Malaysia. - DagangNews.com








