Cypark Resources kembali catat untung RM8.76 juta pada 3QFY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cypark Resources kembali catat untung RM8.76 juta pada 3QFY25

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 28 Mac - Cypark Resources Bhd kembali mencatatkan keuntungan sebanyak RM8.76 juta pada suku ketiga yang berakhir pada 31 Januari 2025, berbanding kerugian RM27.98 juta pada tahun sebelumnya.

 

Menurut syarikat itu, pendapatannya turut meningkat kepada RM39.74 juta berbanding RM35.89 juta pada tahun lalu.

 

Penyedia teknologi dan kejuruteraan alam sekitar itu berkata, syarikat mencatatkan keuntungan disebabkan dua faktor utama iaitu pembatalan peruntukan yang tidak diperlukan lagi dan penerimaan bayaran pampasan susulan penyelesaian baik dengan kontraktor utama loji yang mengubah sisa menjadi tenaga.

 

Selain itu, katanya, projek tenaga suria fotovoltaik berskala besar di Kelantan juga beroperasi lebih awal pada 16 November 2024, menandakan pencapaian penting dalam sumbangan kumpulan kepada grid tenaga nasional.

 

"Susulan kejayaan menyiapkan semua projek yang tertangguh, kumpulan kini memilih dengan teliti peluang baharu untuk diterokai. 

 

"Kumpulan juga mencari peluang untuk mengembangkan dan mempelbagaikan perniagaan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, seiring dengan sasaran untuk mencapai kapasiti 800 megawatt menjelang tahun 2027," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia. - DagangNews.com