Cypark Resources batal tuntutan RM61.34 juta terhadap kerajaan berkaitan projek tapak pelupusan sampah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cypark Resources batal tuntutan RM61.34 juta terhadap kerajaan berkaitan projek tapak pelupusan sampah

Gambar/Cypark Resources Bhd
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 26 Jun - Cypark Resources Bhd menarik balik tuntutan timbang tara berjumlah RM61.34 juta terhadap kerajaan Malaysia berhubung kelewatan penutupan tapak pelupusan sampah, selepas kedua-dua pihak mencapai penyelesaian secara baik.

 

Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) turut mengesahkan penarikan balik prosiding tersebut, kelmarin.

 

Menurut Cypark Resources, penarikan balik itu juga melibatkan tuntutan terhadap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Ketua Pengarah JPSPN.

 

"Keputusan ini dibuat selepas kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan isu tersebut secara bersama," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

 

 

 

 

Syarikat itu menjangka tindakan berkenaan tidak akan memberi kesan besar kepada pendapatan, nilai aset atau tahap hutang syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2026.

 

Cypark Resources memulakan prosiding timbang tara pada Jun 2023 untuk menuntut bayaran kerana mendakwa menanggung kos tambahan akibat kelewatan kerja menutup 16 tapak pelupusan sampah di Semenanjung Malaysia.

 

Kontrak asal bernilai RM483.08 juta itu sepatutnya siap pada 23 November 2011, tetapi hanya disahkan siap pada 23 Disember 2015. 

 

Syarikat tersebut menjelaskan, kelewatan berlaku disebabkan beberapa arahan tambahan daripada kerajaan semasa tempoh pembinaan, yang menyebabkan pihaknya mengalami kerugian besar.

 

Cypark Resources mengambil tindakan timbang tara selepas tidak menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan terhadap notis dan tuntutan akhir yang dihantar pada Januari 2022. - DagangNews.com