KUALA LUMPUR 7 April - Cypark Resources Bhd diunjur masih perlu menjana antara RM600 juta hingga RM700 juta hasil tahunan daripada segmen kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi mencapai tahap pulang modal, meskipun baru memperoleh projek berskala besar bernilai RM1.96 bilion.
Menurut BIMB Securities, keperluan itu dibuat berdasarkan andaian margin keuntungan sekitar 10%, mengambil kira kedudukan kewangan semasa syarikat serta cabaran struktur yang masih dihadapi.
Baru-baru ini, Cypark bersama Sunview Group Bhd dianugerahkan projek membangunkan loji solar fotovolta terapung berkapasiti 595MWac lengkap dengan sistem penyimpanan tenaga bateri oleh Tenaga Nasional Bhd di Tasik Kenyir.
Daripada jumlah keseluruhan projek, bahagian Cypark dianggarkan mencecah RM1.2 bilion berdasarkan pegangan 60% dalam kerjasama tersebut.
Perkembangan itu sekali gus meningkatkan buku tempahan EPCC syarikat kepada kira-kira RM1.5 bilion, sekali gus memperkukuh keterlihatan pendapatan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Kontrak berskala besar ini, bersama tempoh pembinaan berbilang tahun, dijangka menyokong pemulihan pendapatan dalam jangka masa terdekat,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Namun begitu, firma penyelidikan itu berpandangan Cypark masih berdepan cabaran struktur yang ketara, termasuk tahap bebanan yang tinggi serta nilai asas aset yang meningkat.
Situasi tersebut berpunca daripada lebihan kos projek sebelum ini yang menyaksikan syarikat mencatat kadar kerugian tahunan sekitar RM60 juta hingga RM70 juta daripada aset konsesi.
Sehubungan itu, BIMB Securities mengekalkan saranan “pegang” terhadap saham Cypark, namun menaikkan harga sasaran kepada 77 sen sesaham berbanding 63 sen sebelum ini, susulan prospek pendapatan yang lebih jelas hasil daripada kontrak baharu tersebut. - DagangNews.com








