KUALA LUMPUR 19 Jun — Infomina Bhd, penyedia rumusan teknologi perusahaan dan penyedia perkhidmatan sah bagi data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memeterai kerjasama strategik dengan agensi pelaporan kredit utama negara, CTOS Digital Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Interim CTOS Digital Bhd, Kevin Loh berkata, CTOS komited untuk memperkasa perniagaan dengan maklumat yang diperlukan bagi membuat keputusan yang tepat.
"Usaha sama ini membolehkan perniagaan di seluruh Malaysia memperoleh akses lebih pantas dan tepat terhadap data korporat rasmi, yang akan memperkukuh proses membuat keputusan berasaskan data," katanya dalam satu kenyataan.
Kerjasama itu juga membolehkan CTOS mengakses data SSM secara terus melalui Aplikasi Pengaturcaraan Antara Muka (API) menerusi platform carian SSM yang dibangunkan oleh Infomina, sekali gus membolehkan maklumat syarikat diintegrasikan secara masa nyata ke dalam ekosistem pelaporan kredit CTOS.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Infomina Bhd, Yee Chee Meng berkata, dengan menawarkan integrasi API secara terus, syarikat dapat membantu lebih banyak perniagaan mendapatkan akses kepada data SSM secara masa nyata lebih cekap dan kos efektif.
Di bawah perjanjian itu, Infomina akan menyediakan akses lancar kepada maklumat syarikat dan korporat secara masa nyata kepada CTOS, bagi menyokong proses pengesahan perniagaan dan penilaian menyeluruh.
Kerjasama itu turut membuka peluang untuk penambahbaikan produk pada masa hadapan menerusi penggunaan analisis data dan kecerdasan buatan oleh kedua-dua pihak.- DagangNews.com








