Crest Builder raih kontrak RM233.3 juta daripada Sunway Flora bagi pembinaan servis apartmen di Bukit Jalil | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Crest Builder raih kontrak RM233.3 juta daripada Sunway Flora bagi pembinaan servis apartmen di Bukit Jalil

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jun - Crest Builder Holdings Berhad menerusi Crest Builder Sdn Bhd menerima kontrak bernilai RM233.3 juta daripada Sunway Flora Sdn Bhd, sebuah syarikat di bawah Kumpulan Sunway bagi pembinaan servis apartmen di Taman Taman Mutiara Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

 

Kumpulan itu berkata, kontrak itu melibatkan kerja-kerja pembinaan bangunan utama bagi Sunway Flora 2, merangkumi dua blok bangunan masing-masing setinggi 41 dan 43 tingkat dengan 686 unit apartmen servis, bersama lima tingkat tempat letak kereta bertingkat dan pelbagai kemudahan rekreasi.

 

Tempoh pembinaan dijangka mengambil masa sekitar 36 bulan bermula dari tarikh pengambilan tapak.

 

Crest Builder berkata, kontrak itu telah meningkatkan jumlah buku tempahan tertunggak mereka kepada kira-kira RM1.7 bilion, sekali gus mengukuhkan lagi projek pembinaan syarikat dan menjamin keterlihatan pendapatan yang stabil untuk tempoh empat tahun akan datang.

 

Kontrak itu mencerminkan kejayaan berterusan kumpulan dalam memperoleh projek bernilai tinggi daripada pemaju ternama serta mengukuhkan rekod prestasi kukuh syarikat dalam menyediakan rumusan pembinaan berkualiti tinggi dan menepati masa bagi pembangunan bandar yang kompleks.

 

Pengarah Urusan kumpulan, Eric Yong Shang Ming berkata, kontrak itu merupakan yang kedua diperoleh daripada Sunway Group selepas projek Sunway Velocity 3 pada tahun lalu.

 

Beliau berkata, kejayaan itu memuktikan keupayaan, komitmen dan penyampaian konsisten kumpulan.

 

"Kami berbangga dapat sekali lagi bekerjasama dengan antara satu pemaju hartanah terkemuka di Malaysia dan amat menghargai kepercayaan yang berterusan daripada pihak mereka.

 

"Menerusi projek ini, kami terus memperkukuh portfolio pembangunan bandar bernilai tinggi kami serta mengukuhkan kedudukan sebagai rakan kongsi dipercayai dalam menyediakan rumusan pembinaan yang berkualiti dan menepati masa," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com