Crest Builder menang dua kontrak pembinaan projek kediaman di Subang Jaya, Mont Kiara bernilai RM513 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Crest Builder menang dua kontrak pembinaan projek kediaman di Subang Jaya, Mont Kiara bernilai RM513 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Mac –Crest Builder Holdings Berhad memulakan tahun kewangan 2026 dengan prestasi kukuh apabila meraih dua kontrak pembinaan bernilai keseluruhan RM513 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata anak syarikat milik penuhnya, Crest Builder Sdn Bhd telah menerima dua Surat Setuju Terima (LOA) berasingan yang melibatkan projek pembangunan di Selangor dan Kuala Lumpur.

 

“Kontrak pertama bernilai RM246.4 juta diperoleh daripada Sime Darby Property (Subang) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Sime Darby Property Berhad, bagi melaksanakan kerja pembinaan projek East One SJCC di Subang Jaya.

 

“Projek tersebut merangkumi pembangunan 926 unit apartmen servis dalam dua menara setinggi 36 tingkat, lengkap dengan kemudahan penduduk, tingkat mekanikal serta tempat letak kereta,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Menurut kumpulan itu, tempoh pembinaan bagi projek East One SJCC dijangka mengambil masa kira-kira 30 bulan dari tarikh penyerahan tapak.

 

Selain itu, Crest Builder turut menerima kontrak kedua bernilai RM266.5 juta daripada Freedom Estates Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh BRDB Developments Group, bagi kerja-kerja pembinaan utama projek Miranda Hill di Mont Kiara.

 

Pembangunan Miranda Hill melibatkan dua menara setinggi 38 dan 36 tingkat yang merangkumi 552 unit kondominium, kemudahan rekreasi serta ruang parkir, dengan tempoh siap dijangka dalam masa 19 bulan selepas penyerahan tapak.

 

Susulan perolehan kedua-dua kontrak tersebut, buku tempahan Crest Builder kini meningkat kepada paras tertinggi dalam sejarah syarikat iaitu RM2 bilion, yang dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tempoh empat tahun akan datang.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Eric Yong berkata kejayaan meraih kedua-dua projek ini adalah satu permulaan kukuh kepada usaha penambahan kontrak bagi tahun 2026 serta memperkukuh hubungan sedia ada dengan pelanggan utama selain membuka peluang kerjasama baharu.

 

“Dengan kedudukan buku tempahan yang kukuh, kumpulan kini berada dalam landasan yang baik untuk memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek secara efisien serta memastikan semua pembangunan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya. - DagangNews.com