Crest Builder catat hasil lebih RM574 juta pada FY24 dibantu oleh permintaan pasaran kukuh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Crest Builder catat hasil lebih RM574 juta pada FY24 dibantu oleh permintaan pasaran kukuh

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Feb - Crest Builder Holdings Bhd (CBHB) mencatat pendapatan melebihi RM574 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24), naik 17.7% daripada RM488.3 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.


 
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, prestasi kewangan pada tahun ini disokong oleh kecekapan operasi dan permintaan pasaran kukuh. 

 

Segmen pembinaan merupakan penyumbang hasil utama CBHB, mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 15.5% kepada RM460.3 juta, yang diterjemahkan kepada 80.1% daripada jumlah hasil. 

 

Sementara itu, segmen hartanah, menyumbang 10.9% daripada jumlah hasil, mencatat peningkatan 56% kepada RM62.6 juta, hasil sumbangan Interpoint di Bukit Tinggi, Klang.

 

Bagi suku keempat FY24 (4QFY24), CBHB mencatat keuntungan kasar dan keuntungan bersih masing-masing sebanyak RM6.1 juta dan RM3.6 juta, berbanding dengan kerugian kasar dan kerugian bersih sebanyak RM27.3 juta dan RM26.4 juta yang dilaporkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

 

Pemulihan itu didorong oleh peningkatan 31.6% dalam hasil daripada RM129.7 juta kepada RM170.7 juta.


Sehingga 31 Disember 2024, buku pesanan pembinaan terkumpul kumpulan ialah RM1.5 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh di tengah-tengah sektor pembinaan yang teguh.

 

Sementara itu, jumlah jualan belum dibil pembangunan hartanah berjumlah RM340 juta, menawarkan saluran pendapatan yang stabil. 


Mengulas tentang prestasi kewangan kumpulan, Pengarah Urusan Kumpulan CBHB, Eric Yong Shang Ming berkata, buku pesanan kumpulan melebihi sasaran RM500 juta iaitu RM935 juta pada FY25. 

 

"Melihat ke hadapan, kami akan terus mengejar peluang daripada rangkaian pelanggan kami yang kukuh dan kekal yakin dengan pertumbuhan kumpulan pada masa akan datang," katanya.  - DagangNews.com