CPE Technology tingkatkan kapasiti pengeluaran penuhi permintaan semikonduktor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CPE Technology tingkatkan kapasiti pengeluaran penuhi permintaan semikonduktor

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 5 Mac - CPE Technology Bhd sedang memperluaskan kapasiti pengeluarannya untuk memenuhi lonjakan permintaan semikonduktor pada tahun ini, terutamanya dalam kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran berprestasi tinggi.

 

Syarikat itu telah melabur dalam sebuah kilang baharu seluas kira-kira 0.40 hektar, dengan ruang pengeluaran seluas 25,000 kaki persegi. 

 

Mereka juga akan memindahkan sebanyak 38 mesin CNC dari kilang sedia ada ke kemudahan baharu bagi mengurangkan kesesakan dan meningkatkan kecekapan operasi.

 

Selain itu, CPE Technology melabur dalam 16 mesin CNC canggih yang akan ditempatkan secara strategik di kedua-dua kilang baharu dan sedia ada untuk meningkatkan kemampuan pengeluaran. 

 

Kilang dan mesin baharu dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang Julai 2025.

 

Setakat 31 Disember 2024, CPE Technology telah melabur RM5.61 juta dalam pembelian mesin CNC, bagi memperluaskan kapasiti pengeluaran dan meningkatkan kecekapan operasi sebagai respons kepada permintaan semikonduktor yang semakin meningkat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CPE Technology, Lee Chen Yeong berkata, pengembangan itu juga menyaksikan penubuhan unit sub-pemasangan baharu yang menggunakan kira-kira 40% ruang di kilang baharunya. 

 

Katanya, untuk menyokong bahagian tersebut, syarikat melabur dalam peralatan kimpalan canggih, termasuk teknologi kimpalan sinar elektron.

 

"Pelaburan dalam peralatan kimpalan ini membolehkan syarikat menawarkan komponen kimpalan dengan ketepatan tinggi yang memenuhi keperluan semikonduktor. 

 

"Selain itu, syarikat juga mengukuhkan kerjasama rantaian bekalan dan melabur dalam peningkatan kemahiran tenaga kerja," katanya dalam satu kenyataan.

 

Chen Yeong berkata, CPE Technology akan terus memperkukuh kedudukan pasaran dan berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong pertumbuhan pelanggan serta memenuhi permintaan yang berkembang dalam industri semikonduktor.

 

Jelas beliau, untuk meningkatkan daya saing, CPE Technology berusaha untuk meningkatkan kapasiti pengeluarannya, dengan memindahkan 38 mesin CNC ke kemudahan baharu, yang dijangka beroperasi pada Julai 2025. 

 

Katanya, syarikat juga merancang untuk meningkatkan kemampuan unit sub-pemasangan dengan kemampuan kimpalan canggih.

 

CPE Technology kini memperluaskan operasi semikonduktornya ke luar pasaran utama Amerika Syarikat dan Jepun, meneroka peluang dengan syarikat semikonduktor di Malaysia, terutamanya di Pulau Pinang. 

 

Langkah berkenaan boleh mengurangkan kebergantungan kepada pelanggan dan wilayah tertentu.

 

Syarikat juga berusaha mengoptimumkan rancangan pengeluaran dan mengekalkan kapasiti yang fleksibel untuk menyesuaikan diri dengan turun naik permintaan. 

 

Pada masa yang sama, ia terus melabur dalam teknologi dan kemahiran untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang.

 

Pada suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, keuntungan bersih CPE Technology meningkat sebanyak 601.27% kepada RM10.47 juta berbanding RM1.49 juta. 

 

Pendapatan juga meningkat 52.42% kepada RM33.19 juta.

 

Syarikat juga mengutamakan penambahbaikan proses untuk ketepatan, kecekapan dan kualiti, dengan menjalin kerjasama strategik untuk menyepadukan rumusan pengeluaran canggih bagi memastikan daya saing dalam industri semikonduktor yang berkembang.

 

CPE Technology terus memberi tumpuan kepada sektor semikonduktor, yang menyumbang 66% kepada pendapatannya, sambil mengukuhkan kedudukan dalam ekosistem semikonduktor Malaysia.

 

Selain semikonduktor, syarikat juga berusaha untuk memperluaskan pasaran dalam bidang sains hayat, peranti perubatan dan peralatan sukan sebagai asas pendapatan yang stabil. - DagangNews.com