KUALA LUMPUR 5 Mac - Coraza Integrated Technology Bhd berpotensi mencatatkan keputusan lebih baik pada suku akan datang dipacu pemulihan berterusan dalam permintaan semikonduktor global dan pengembangan kapasiti kilang baharu, kata TA Securities.
Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan FY25 dan FY26 kumpulan selain memperkenalkan ujuran hasil FY27 sebanyak RM17.8 juta mewakili pertumbuhan sebanyak 19.7%.
"Kumpulan itu bagaimanapun berdepan beberapa risiko termasuk kebergantungan terhadap pelanggan selain ketidakstabilan hrga bahan mentah.
"Selain itu, kumpulan itu juga berdepan risiko ketegangan geopilitik yang akan memberi kesan kepada perkembangan ekonomi dan gangguan terhadap rantaia bekalan," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu untung bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) meningkat kepada RM4.39 juta berbanding kerugian bersih sebanyak RM2.67 juta pada tahun sebelumnya disokong peningkatan hasil kepada RM109.03 juta berbanding RM80.68 juta pada FY23.
Peningkatan hasil itu disokong pemulihan industri semikonduktor dan fasa masuk/enukaran NPI kepada mod pengeluaran yang menyumbang kepada peningkatan hasil.
TA Securities berkata, pertumbuhan akan terus didorong sebahagian besarnya oleh pasaran pengguna akhir utamanya, termasuk semikonduktor, instrumentasi dan sains hayat dan peranti perubatan.
"Pengurusan yakin buku pesanan akan terus berkembang, disokong kitaran menaik yang kukuh dalam sektor semikonduktor global," katanya.
Secara keseluruhan, firma penyelidikan itu menyukai kumpulan itu kerana prospek pertumbuhan jangka panjang disokong rancangan pengembangan dan pendedahan kepada industri pertumbuhan tinggi, termasuk semikonduktor, instrumentasi dan perubatan serta sains hayat.
"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran 66 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com








