Contohi pendekatan dana amanah Sarawak terajui usaha pelihara tanah Bumiputera di kawasan bandar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Contohi pendekatan dana amanah Sarawak terajui usaha pelihara tanah Bumiputera di kawasan bandar

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 27 Jan – Cadangan penubuhan dana amanah oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dilihat sebagai langkah proaktif dalam usaha memelihara pemilikan tanah milik Bumiputera, terutama di kawasan bandar.

 

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, cadangan Premier Sarawak tersebut selari dengan resolusi yang pernah dibincangkan dalam Perundingan Meja Bulat Lajnah Tanah PAS Pusat.

 

“Perkara ini adalah sama seperti salah satu yg terkandung dalam Resolusi Perundingan Meja Bulat Lajnah Tanah PAS Pusat tentang keperluan diwujudkan satu entiti yang didanai secukupnya untuk membeli mana-mana tanah, hartanah milik Bumiputera yang sama ada disebabkan oleh lelongan, faraid dan seumpamanya terpaksa dilupuskan.”

 

 

Ahmad Amzad Hashim
    Ahmad Amzad Hashim

 

Beliau berkata demikian melalui satu hantaran Facebooknya.

 

Ahmad Amzad berkata, tanpa kewangan yang mencukupi, waris Bumiputera sering kehilangan peluang untuk membeli semula tanah atau hartanah tersebut.

 

Oleh hal yang demikian, akhirnya ia akan jatuh ke tangan pihak lain dan keadaan ini menyebabkan aset-aset penting masyarakat Bumiputera semakin terhakis.

 

Cadangan Premier Sarawak untuk menubuhkan dana amanah bertujuan mengatasi isu ini. Dana tersebut akan berfungsi sebagai mekanisme untuk membeli tanah atau hartanah yang dijual, memastikan pemilikannya kekal dalam kalangan masyarakat Melayu. 

 

Sebagai contoh, dana amanah Satok berjaya membeli Arif Hotel yang sebelumnya perlu dijual kerana pembahagian faraid. Dengan dana tersebut, hotel itu kekal sebagai aset orang Melayu dan tidak terlepas kepada pihak luar.

 

“Ini adalah langkah strategik untuk memperkukuhkan ekonomi masyarakat Melayu agar pemilikan aset kekal dalam komuniti kita. 

 

“Saya ucapkan tahniah kepada kerajaan Sarawak atas inisiatif ini,” tambah Ahmad Amzad.

 

Namun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang itu turut meluahkan kekecewaannya di dalam hantaran itu apabila ada pihak yang menolak cadangan serupa dengan alasan beliau berfikiran sempit.

 

“Ketika saya menyuarakan kebimbangan berhubung pemilikan tanah orang Melayu, terutama di kawasan bandar, seorang menteri persekutuan menuduh saya ‘berfikiran sempit’, asabiyyah, dan kononnya tidak mahu ‘move on’,” katanya.

 

Beliau menegaskan bahawa ‘move on’ tidak bermaksud mengabaikan tanggungjawab untuk melindungi kepentingan agama dan bangsa.

 

“Kita tidak boleh mengorbankan pemilikan tanah orang Melayu atas nama kononnya mahu ‘semua sama rata’.

 

“Sebaliknya, kita perlu memperkukuhkan asas ekonomi masyarakat Melayu agar aset ini dapat diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya lagi. - DagangNews.com