Concrete Engineering catat kerugian bersih RM15.4 juta bagi suku berakhir 31 Mei 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Concrete Engineering catat kerugian bersih RM15.4 juta bagi suku berakhir 31 Mei 2026

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 28 JulaiConcrete Engineering Products Berhad (CEPCO) mencatatkan kerugian bersih mencecah sebanyak RM15.4 juta bagi tempoh suku kewangan tambahan berakhir pada 31 Mei 2026. 

 

Menurutnya, prestasi lemah berkenaan disebabkan khususnya oleh faktor kerugian daripada pelupusan pelaburan sebut harga serta tindakan hapus kira inventori yang dilakukan dalam tempoh tersebut.

 

Berdasarkan makluman kepada Bursa Malaysia, keputusan ini menunjukkan penurunan ketara berbanding keuntungan bersih RM2.6 juta yang dicatatkan pada suku sebelumnya yang berakhir 28 Februari 2026.

 

"Suku baharu ini merangkumi tiga bulan dari 1 Mac 2026 hingga 31 Mei 2026 yang tidak mengikut kitaran biasa susulan pertukaran tarikh akhir tahun kewangan semasa berakhir 30 Jun," jelas CEPCO.

 

Kumpulan berkenaan tambahnya, namun masih lagi meraih hasil RM11.4 juta, meningkat kira-kira 6% daripada RM10.7 juta pada suku sebelumnya dipacu oleh volum penghantaran cerucuk yang lebih tinggi.

 

Secara keseluruhan ujarnya, syarikat mencatatkan kerugian sebelum cukai (LBT) mencecah sebanyak RM15.3 juta yang direkodkan bagi suku semasa dengan kerugian sesaham berada pada kadar 20.59 sen.

 

Concrete Engineering_DagangNews2026

 

Kata CEPCO, bagi tempoh terkumpul sembilan bulan berakhir 31 Mei 2026, syarikat mencatatkan hasil keseluruhan sebanyak RM35.1 juta dengan kerugian bersih terkumpul pula berjumlah RM15.6 juta.

 

"Syarikat turut memaklumkan prestasi bagi tempoh ini tidak mempunyai perbandingan tahun-ke-tahun (YoY) berikutan pertukaran tarikh akhir tahun kewangan daripada 31 Ogos kepada 30 Jun," menurutnya.

 

Dalam perkembangan korporat, kumpulan tersebut sebelum ini sudah menerima tawaran pengambilalihan mandatori tanpa sebarang syarat daripada YTL Cement Berhad pada pertimbangan harga RM2.60 sesaham.

 

Ujar CEPCO, proses berkenaan ditetapkan setelah pihak penawar memiliki kira-kira 53.49% kepentingan dalam syarikat itu dengan tawaran tersebut telah pun ditutup secara rasmi pada 13 Mei 2026 lalu.

 

Mengenai prospek masa hadapan, kumpulan menjangkakan persekitaran operasi kekal mencabar ekoran ketidaktentuan pasaran global, ketegangan geopolitik, serta turun naik harga tenaga dan komoditi.

 

"Situasi ini menekan kos pembuatan dan logistik, namun aktiviti pembinaan domestik dijangka terus disokong projek infrastruktur yang sedang berjalan dan pelaburan sektor swasta," katanya. - DagangNews.com