Harga tiket F1 Sepang tidak mungkin di bawah RM100, keputusan akhir di tangan Bahrain - SIC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga tiket F1 Sepang tidak mungkin di bawah RM100, keputusan akhir di tangan Bahrain - SIC

(Gambar/ Sepang International Circuit)
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Julai - Kerajaan Bahrain akan menentukan harga tiket serta menerima keseluruhan hasil jualan tiket bagi perlumbaan Formula 1 (F1) yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif.

 

Beliau berkata, SIC masih berunding dengan Bahrain bagi mendapatkan harga tiket yang lebih berpatutan untuk rakyat Malaysia, termasuk kemungkinan memperkenalkan harga khas MyKad.

 

Bagaimanapun, jelasnya, keputusan muktamad mengenai harga tiket terletak sepenuhnya di tangan Bahrain kerana negara itu menanggung yuran hak penganjuran Formula 1.

 

"Semua hasil jualan tiket akan kembali kepada Bahrain, jadi kami tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan perkara tertentu.

 

"Agak mustahil untuk harga tiket di bawah RM100 seperti dilakukan pada MotoGP.

 

"Saya sedar ramai yang mahu harga tiket mampu milik. Saya akan cuba sedaya upaya mendapatkan harga istimewa untuk rakyat Malaysia, tetapi keputusan akhir adalah di tangan Bahrain," katanya pada sesi media di Sepang hari ini.

 

Azhan menjangkakan tiket akan mula dijual seawal minggu pertama bulan depan.

 

Berkongsi Kos Operasi

Sementara itu beliau memberitahu, walaupun Bahrain membiayai yuran hak penganjuran, SIC akan berkongsi kos operasi termasuk penyediaan litar dan penganjuran perlumbaan.

 

Menurutnya, kos operasi yang dikongsi antara kedua-dua pihak dianggarkan sekitar RM40 juta, manakala yuran hak penganjuran sahaja dianggarkan antara AS$70 juta hingga AS$80 juta.

 

Secara keseluruhannya, kos menganjurkan perlumbaan Formula 1 di Sepang berpotensi melebihi RM300 juta.

 

Namun, Azhan menegaskan bahawa nilai penganjuran Formula 1 tidak seharusnya diukur berdasarkan kos semata-mata kerana acara berprestij itu mampu menjana kesan limpahan ekonomi yang besar.

 

"Malaysia berpotensi memperoleh impak ekonomi melebihi RM1 bilion menerusi peningkatan aktiviti pelancongan, perniagaan dan sektor perkhidmatan," katanya.

 

Litar Tidak Perlu Diturap Semula

Azhan berkata, wakil Formula 1 telah menjalankan pemeriksaan awal di Litar Sepang dan mendapati tiada isu utama yang boleh menghalang penganjuran perlumbaan.

 

Menurut beliau, litar tidak memerlukan kerja penurapan semula, namun beberapa penambahbaikan termasuk kawasan keselamatan (runoff area) dan kemudahan infrastruktur akan dilaksanakan sebelum perlumbaan berlangsung.

 

Dengan tempoh kurang dua bulan sebelum acara itu diadakan, semua persiapan kini dilaksanakan secara intensif bagi memastikan setiap keperluan teknikal Formula 1 dipenuhi mengikut jadual.

 

Menurut Azhan impak ekonomi perlumbaan kali ini dijangka jauh lebih besar berbanding ketika Malaysia menjadi tuan rumah Formula 1 sebelum ini.

 

Katanya, sejak Formula 1 diambil alih oleh Liberty Media, sukan permotoran itu berjaya menarik kelompok peminat baharu di seluruh dunia, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap tiket dan aktiviti berkaitan perlumbaan. - DagangNews.com