Coastal Contracts raih kontrak sewaan kapal 90 hari dari Timur Tengah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Coastal Contracts raih kontrak sewaan kapal 90 hari dari Timur Tengah

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 April – Coastal Contracts Bhd menerusi anak syarikatnya, Elite Point Pte Ltd (EPPL) memeterai satu kontrak sewaan kapal bagi sebuah liftboat dengan pelanggan dari Timur Tengah.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata kontrak tersebut dimeterai pada 30 April 2026 dengan tarikh operasi dijangka bermula pada 5 Mei 2026.

 

Kontrak berkenaan adalah bersifat penjanaan pendapatan dan dilaksanakan dalam operasi biasa syarikat, dengan tempoh keseluruhan selama 90 hari.

 

Daripada jumlah tersebut, 40 hari pertama merupakan tempoh tetap (firm period) manakala 50 hari seterusnya adalah tempoh opsyen yang boleh dilaksanakan berdasarkan keperluan pelanggan.

 

Nilai keseluruhan kontrak dianggarkan berjumlah kira-kira RM7.27 juta, dengan RM3.23 juta diperoleh daripada tempoh tetap manakala RM4.04 juta daripada tempoh opsyen.

 

Syarikat menjelaskan kontrak ini dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan serta aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 sepanjang tempoh pelaksanaannya.

 

Bagaimanapun, syarikat turut mengakui bahawa operasi liftboat dan perkhidmatan penyewaan kapal tertakluk kepada risiko operasi biasa termasuk faktor cuaca, teknikal serta keperluan penyelenggaraan.

 

Namun begitu, Coastal Contracts berkata langkah pengurusan risiko yang sewajarnya telah dilaksanakan bagi memastikan operasi berjalan lancar sepanjang tempoh kontrak.

 

Tiada pengarah atau pemegang saham utama yang mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut. - DagangNews.com