Coastal Contracts menang kontrak RM367 juta daripada Pemex bagi infrastruktur gas di Mexico | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Coastal Contracts menang kontrak RM367 juta daripada Pemex bagi infrastruktur gas di Mexico

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 21 MeiCoastal Contracts Berhad melalui konsortiumnya memeterai kontrak bernilai AS$92.5 juta (RM367.1 juta) dengan syarikat petroleum nasional Mexico, Petróleos Mexicanos (Pemex).



Ia melibatkan reka bentuk, kejuruteraan, pengangkutan, pemasangan, penyambungan, pentauliahan, pengujian, dan permulaan operasi bagi infrastruktur gas utama tetap Loji Perdiz Ke-2 di Ixachi.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, projek tersebut sudah disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan iaitu selama 120 hari dan kini mula beroperasi sepenuhnya untuk diuruskan kumpulan itu.


Pengerusi Eksekutif Coastal Contracts, Ng Chin Heng berkata, kejayaan menyiapkan dan memulakan operasi loji tersebut dalam tempoh hanya empat bulan merupakan satu pencapaian kejuruteraan.


"Projek ini membuktikan keupayaan dalam melaksanakan projek infrastruktur tenaga yang rumit dalam tempoh masa singkat sambil mengekalkan piawaian operasi dan teknikal yang tinggi," katanya.


Tambah beliau, loji tersebut juga dijangka menyumbang kepada pengurangan aktiviti pembakaran gas oleh Pemex di medan Ixachi dengan memproses gas bersekutu yang sebelum ini terpaksa dibakar.


Perkembangan berkenaan jelas kenyataan Coastal Contracts, selaras dengan objektif alam sekitar untuk pengurusan pelepasan karbon yang lebih baik dan mengurangkan pencemaran udara setempat.


Dalam perkembangan berasingan berkaitan kontrak Loji Papan Kedua, konsortium tersebut turut memeterai Perjanjian Amanah dengan Pemex dan sebuah bank amanah Mexico pada 19 Mei 2026.


"Penubuhan struktur amanah ini menandakan keberkesanan kontrak, membolehkan kami mempercepatkan aktiviti pembinaan sebagai sebahagian daripada program pembangunan Ixachi yang luas," katanya.


Menurut Coastal Contracts, kontrak berkenaan dijangka memberikan sumbangan secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2026.


Syarikat yang berpangkalan di Sandakan, Sabah ini disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia sejak 2003 dan kini beroperasi dalam pelbagai perkhidmatan termasuk pemprosesan gas. - DagangNews.com