Citaglobal tiada rancangan bangunkan tanah RM73 juta di Jalan Tun Razak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Citaglobal tiada rancangan bangunkan tanah RM73 juta di Jalan Tun Razak

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 6 Feb - Citaglobal Bhd tidak mempunyai rancangan segera untuk membangunkan tanah seluas 0.64 hektar di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, yang akan diperoleh daripada Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) pada harga RM73 juta.

 

Menurut syarikat kejuruteraan pembinaan tersebut, pendekatan strategik itu dibuat bagi memaksimumkan nilai jangka panjang untuk tanah berkenaan.

 

"Buat masa ini, kumpulan tidak berhasrat membangunkan tanah itu," katanya dalam satu pemfailan kepada Bursa Malaysia, semalam.

 

Citaglobal sebelum ini menyatakan, tanah tersebut menyediakan peluang strategik untuk pertumbuhan nilai jangka panjang. 

 

Ia akan diperoleh oleh anak syarikat milik penuh tidak langsung Citaglobal, Sinergi Dayang Sdn Bhd (SDSB), yang terlibat dalam aktiviti kontraktor pembinaan sepenuhnya, pemaju hartanah dan perlombongan.

 

Mengenai nilai buku bersih tanah itu, Citaglobal berkata, ia tidak dapat mendedahkan nilai kerana tidak mempunyai maklumat daripada Bank Islam.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu menjelaskan, satu penilaian bebas ke atas berkenaan telah dilakukan oleh Infra Harta Consultants Sdn Bhd pada 21 Oktober 2024.

 

"Penilaian berdasarkan pendekatan pasaran/perbandingan, menganggarkan nilai pasaran tanah tersebut pada RM70 juta berdasarkan keadaan seadanya," jelas Citaglobal.

 

Sementara itu, tanah tersebut akan dinilai pada RM138 juta berdasarkan andaian dengan menganggap ia diluluskan untuk pembangunan komersial bercampur, syarat ekspres semasa dibatalkan dan tempoh pajakan dilanjutkan kepada pajakan 99 tahun.

 

Kumpulan itu berkata, pihaknya merancang untuk membiayai pengambilalihan berkenaan melalui dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank. 

 

Menurut penyata kewangan terbaharu, setakat akhir September 2024, jumlah tunai Citaglobal adalah RM30.65 juta, manakala pinjaman syarikat berjumlah RM93.28 juta.

 

Syarikat itu turut mengulangi, pengambilalihan yang dicadangkan akan melalui beberapa kelulusan daripada pihak berkuasa yang dijangka diselesaikan dalam tempoh sekurang-kurangnya sembilan bulan.

 

"BIMB bertanggungjawab untuk mendapatkan kelulusan daripada Pejabat Tanah & Galian (PTG KL) bagi membatalkan syarat ekspres semasa, satu proses yang dijangka diselesaikan dalam masa enam bulan dari tarikh penyerahan.

 

"Pada masa yang sama, SDSB perlu mendapatkan kelulusan daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk transaksi tersebut, yang dijangka mengambil masa kira-kira dua hingga tiga bulan untuk diselesaikan," tambahnya. - DagangNews.com