CIMB, Wild Asia jalin kerjasama pacu peralihan kemampanan dalam sektor minyak sawit | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CIMB, Wild Asia jalin kerjasama pacu peralihan kemampanan dalam sektor minyak sawit

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mac - CIMB Bank Berhad memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Wild Asia Sdn Bhd bagi memacu peralihan ke arah amalan yang lebih mampan dalam sektor minyak sawit.

 

Kerjasama itu bertujuan mengukuhkan ketelusan rantaian bekalan dan menegakkan piawaian kemampanan dengan bekerjasama rapat dengan pelanggan dan pihak berkepentingan industri CIMB melalui Program Perikatan Keterangkuman & Ketahanan Pengeluar Kecil Wild Asia (SPIRAL).

 

Dengan memudahkan pensijilan untuk kilang, rantaian bekalan dan pengeluar bebas termasuk pekebun, pengusaha kecil dan ladang bertujuan memacu akauntabiliti yang lebih besar dan amalan penyumberan yang bertanggungjawab di seluruh industri.

 

Menerusi program ini, pengeluar bebas akan dapat memperoleh akses pasaran yang lebih baik dan meningkatkan mata pencarian mereka sambil menyokong peralihan yang lebih luas kepada pengeluaran minyak sawit mampan yang positif alam semula jadi.

 

Ketua Pegawai Kelestarian kumpulan CIMB Group, Luanne Sieh berkata, pihaknya berbesar hati bekerjsama dengan Widla Asia bagi memacu perubahan dalam industri minyak sawit.

 

Beliau berkata, kemampanan dalam sektor itu melangkaui mengurangkan impak alam sekitar – ia juga mengenai memperkukuh mata pencarian dan mewujudkan peluang ekonomi jangka panjang di seluruh rantaian nilai, terutamanya bagi pekebun kecil yang membentuk sebahagian besar ekosistem.

 

"Menerusi kerjasama rapat dengan Wild Asia, pelanggan dan pihak berkepentingan industri, kami komited membentuk ekosistem minyak sawit yang lebih bertanggungjawab dan inklusif," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

CIMB akan bekerjasama dengan Wild Asia untuk meneroka perkhidmatan nilai tambah kepada pelanggan minyak sawit kumpulan bagi mempercepatkan perjalanan kemampanan rantaian bekalan dan berpotensi mencipta bersama rumusan kewangan mampan.

 

Tawaran itu disesuaikan dengan keperluan sektor minyak sawit, menawarkan sokongan kritikal untuk memupuk daya tahan jangka panjang dalam menghadapi peraturan alam sekitar yang berkembang dan permintaan pasaran.

 

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Eksekutif Wild Asia, Dr. Reza Azmi berkata, inisiatif mereka di lapangan berjaya memberikan hasil yang ketara, membuktikan pengeluaran minyak sawit inklusif boleh dicapai.

 

"Kami juga telah menunjukkan, dengan mengamalkan amalan penjanaan semula, kelapa sawit boleh berfungsi sebagai penyerap karbon jangka panjang. 

 

"Dengan rakan kongsi SPIRAL mengetuai tanggungjawab itu, kami bersedia untuk meningkatkan usaha ini ke seluruh industri—membuka jalan untuk komuniti yang berkembang maju, perniagaan yang makmur dan planet yang lebih sihat," katanya.

 

Kerjasama itu sejajar dengan komitmen CIMB yang lebih luas untuk mencapai Sifar Bersih menjelang 2050.

 

Pada 2024, CIMB menetapkan sasaran mengurangkan pelepasan merentas keseluruhan portfolio minyak sawitnya sebanyak 16%, daripada 1.81 pada 2022 kepada 1.52 tCO2e/tCPO menjelang 2030. 

 

Matlamat itu, disokong Inisiatif Sasaran Berasaskan Sains (SBTi) dan panduan Hutan, Tanah, dan Pertanian berterusan untuk penyahmakanan CIMB (sFL) sepanjang rantaian nilai minyak sawit. - DagangNews.com