KUALA LUMPUR 10 Julai - Menteri Luar China, Wang Yi, menyeru negara-negara Asia Tenggara untuk mengekalkan keterbukaan dan kerjasama bagi menyampaikan mesej inklusiviti ketika Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengancam mengenakan tarif besar-besaran ke atas negara-negara di rantau ini.
“Bersama negara-negara ASEAN, kami akan mempromosikan nilai-nilai Asia seperti keamanan, kerjasama, keterbukaan dan keterangkuman,” kata beliau dalam satu mesyuarat antara China dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di Kuala Lumpur, lapor Bloomberg.
"Kedua-dua blok itu perlu “memperkukuh kebangkitan semula Asia selari dengan arus sejarah yang menunjukkan pertumbuhan luar biasa oleh Global South,” tambah Wang.
Kenyataan beliau hadir ketika Trump melaksanakan tarif lebih tinggi ke atas rakan dagang utama AS.
ARTIKEL BERKAITAN: AS kenakan tarif 25% ke atas Malaysia mulai 1 Ogos, lebih tinggi daripada tarif asal 24%
Bermula 1 Ogos ini, barangan dari Malaysia akan dikenakan tarif sebanyak 25% manakala Laos dan Myanmar mungkin akan berepan kadar tarif setinggi 40%, selain Kemboja dan Thailand sebanyak 36%, dan Indonesia sebanyak 32%.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, turut berada di Malaysia bagi menghadiri mesyuarat ASEAN, walaupun masih tidak pasti sama ada beliau dan Wang akan bertemu.
Pertemuan sebegitu boleh meluaskan perbincangan melebihi isu perdagangan dan membantu membuka laluan bagi sidang kemuncak yang mungkin berlangsung antara Trump dan Presiden China, Xi Jinping, yang dikatakan oleh Trump sebagai seseorang yang ingin beliau temui pada akhir tahun ini.- DagangNews.com








