Chin Hin Group Property beli hartanah industri RM66 juta di Kota Damansara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Chin Hin Group Property beli hartanah industri RM66 juta di Kota Damansara

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Mac – Chin Hin Group Property Berhad (CHGP) telah mengumumkan pengambilalihan sebuah tapak industri seluas 16,222 meter persegi di Kota Damansara, Selangor, pada harga RM66 juta.

 

Langkah ini menandakan pengembangan pertama Kumpulan ke dalam segmen pembangunan industri dan komersial, seiring dengan usaha mereka mempelbagaikan portfolio yang sebelum ini lebih tertumpu pada projek kediaman.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Chin Hin berkata tapak yang diperoleh daripada Signature International Berhad melalui anak syarikat milik penuh CHGP, Boon Koon Capital Sdn Bhd, menempatkan bangunan pejabat dan kilang tiga Tingkat yang mempunyai potensi pembangunan semula. 

 

“CHGP merancang untuk mengubah tapak ini menjadi hab industri-komersial bersepadu yang boleh menampung pengendali logistik, pengguna industri serta perniagaan komersial,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CHGP, Chang Tze Yoong berkata pengambilalihan ini merupakan langkah strategik bagi Kumpulan untuk merebut permintaan pasaran yang meningkat dalam ruang industri dan komersial.

 

“Walaupun fokus utama CHGP tetap pada pembangunan kediaman, langkah ini membolehkan kami memperluaskan asas pendapatan secara berhemah.

 

“Tapak ini mempunyai lokasi strategik dengan akses mudah ke lebuh raya utama seperti LDP, NKVE, dan SPRINT, menjadikannya sesuai untuk syarikat yang memerlukan sambungan logistik yang cepat dan efisien. 

 

“Lokasi ini juga berada di tengah-tengah koridor industri yang mapan di Lembah Klang, yang merupakan kawasan tumpuan aktiviti perniagaan dan industri,” katanya.

 

Kajian awal menunjukkan pembangunan semula tapak ini dijangka mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM449.4 juta dengan kos pembangunan kasar (GDC) RM361.6 juta.

 

Ini bermakna margin kasar dianggarkan bernilai sekitar 19 peratus, menunjukkan potensi keuntungan yang menarik bagi Kumpulan.

 

Bagi membiayai pengambilalihan ini, CHGP akan menggunakan gabungan dana dalaman dan pinjaman bank. Selepas pengambilalihan, tahap hutang bersih Kumpulan dijangka meningkat sedikit daripada 0.67 kali kepada 0.81 kali, tetapi masih berada dalam tahap terkawal yang membolehkan fleksibiliti kewangan untuk meneruskan projek kediaman sedia ada dan pembangunan industri baharu ini.

 

CHGP terkenal sebagai peneraju hartanah yang memberi tumpuan kepada projek kediaman moden dengan portfolio yang meliputi Lembah Klang, Pulau Pinang, dan Johor Bahru. Projek mereka termasuk Ayanna Resort Residences di Bukit Jalil, Avantro Residences di Bandar Kinrara, Quaver Residence di Sungai Besi, serta Crown Penang di Pulau Pinang.

 

Sebagai anak syarikat Chin Hin Group Berhad, CHGP mendapat sokongan daripada konglomerat yang mempunyai kepakaran dalam bahan binaan, pembinaan, pembangunan hartanah serta berkaitan rumah dan gaya hidup. 

 

Hubungan ini juga memudahkan Kumpulan mengakses sumber, teknologi, dan rangkaian yang luas untuk menyokong projek-projek baharu mereka.

 

Dengan pengambilalihan tapak ini, CHGP menyasarkan untuk membina sebuah hab industri-komersial yang bukan sahaja memenuhi keperluan perniagaan tempatan, tetapi juga memberi peluang kepada Kumpulan untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran hartanah yang lebih pelbagai, sambil mengekalkan pengurusan kewangan yang berhemah dan berdisiplin. - DagangNews.com