KUALA LUMPUR 27 Nov - Chin Hin Group Property Bhd memeterai perjanjian pembelian tanah berkeluasan 10.5 hektar atau 25.9 ekar di Seri Kembangan pada harga RM91 juta secara tunai bagi membangunkan projek perumahan dengan unjuran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM560 juta.
Menurut makluman syarikat itu di Bursa Malaysia, anak syarikatnya Chin Hin Property (KL) Sdn Bhd menandatangani perjanjian dengan Trident Treasure Sdn Bhd pada 26 Nov bagi pembelian tanah tersebut yang terletak di pinggir Kuala Lumpur.
Chin Hin Group berkata projek perumahan berkenaan dijangka memerlukan kos pembangunan kasar sebanyak RM448 juta, dengan pelaksanaan bermula pada suku keempat 2026 dan siap sepenuhnya menjelang akhir 2029.
Tanah itu ketika ini mempunyai kelulusan untuk pembangunan projek pangsapuri, namun pemilik semasa Trident Treasure telah mengemukakan permohonan pindaan bagi membangunkan 380 unit rumah teres tiga tingkat.
Chin Hin Group memaklumkan ia tidak dapat memperoleh nilai buku bersih tanah tersebut kerana maklumat berkenaan tidak didedahkan oleh pemilik semasa, dan kumpulan itu juga tidak menjalankan proses penilaian formal ke atas tanah itu.
Harga pembelian tersebut bersamaan kira-kira RM80 bagi setiap kaki persegi. Berdasarkan perbincangan tidak rasmi dengan penilai yang mengendalikan kawasan sekitar, nilai pasaran semasa dianggarkan antara RM70 hingga RM85 sekaki persegi bergantung kepada saiz tanah dan potensi pembangunan.
Kumpulan itu berkata pembiayaan bagi pembelian tanah berkenaan akan dibuat melalui dana dalaman dan pinjaman. Urus niaga dijangka dimuktamadkan pada Ogos 2026.
Trident Treasure merupakan syarikat pemaju hartanah yang dimiliki 60% oleh Istilah Makmur Sdn Bhd dan selebihnya oleh Winax Development Sdn Bhd.
Semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan Winax Development dimiliki sepenuhnya oleh Talam Transform Bhd, manakala pemegang saham Istilah Makmur ialah Choo Choon Seng (41.66%), Tee Chai Seng (41.66%), Tan Huck Joo (8.33%) dan Tan Che (8.33%).
Saham Chin Hin Group ditutup pada Rabu satu sen atau 0.84% lebih rendah pada RM1.18, menjadikan nilai pasaran syarikat itu sebanyak RM1.57 bilion. - DagangNews.com








