KUALA LUMPUR 17 Feb - Pengeluar automotif terkemuka, Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd, akan mengeksport kenderaan ke pasaran Asia Tenggara pada tahun ini, selaras dengan visinya untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran untuk rantau ini.
Chery merupakan jenama Cina pertama yang memulakan eksport dari Malaysia.
Fasa pertama eksport dari Malaysia ke Vietnam akan melibatkan SUV JAECOO Enjin Pembakaran Dalam (ICE) dan Kenderaan Elektrik Hibrid Plug-in (PHEV), dengan lebih banyak model dan jenama dijangka menyertai senarai tersebut.
Kenderaan model sama juga akan dieksport ke Thailand, Brunei, Filipina dan Singapura.
Pengeluaran untuk pasaran eksport Asia Tenggara disokong oleh kemudahan pengeluaran Chery Corporate Malaysia di Shah Alam, Selangor.
Sebagai persediaan untuk meningkatkan pengeluaran bagi pertumbuhan masa depan, Chery juga menjalin kerjasama strategik dengan kilang pemasangan tempatan lain di Malaysia.
Bagi tahun 2024, Kumpulan Chery mencatatkan jualan tahunan yang memecah rekod melebihi 2.6 juta kenderaan, peningkatan sebanyak 38.4% berbanding tahun sebelumnya, dengan eksport mencapai 1.1 juta unit, naik 21.4% berbanding 2023.
Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Leo Chen berkata, Chery sedang berkembang dengan baik dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran dan penyelidikan serta pembangunan (R&D) di Asia Tenggara.
"Pengembangan keupayaan eksport kami meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di rantau ini.
Selain itu, Chery berbesar hati untuk memainkan peranan dalam merangsang ekonomi Malaysia, membangunkan bakat tempatan dan mengukuhkan rantaian bekalan kami," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, Chery yakin dapat mencapai matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab eksport utama bagi kenderaannya termasuk sub-jenama premium, JAECOO. - DagangNews.com








