KUALA LUMPUR 18 Mei – Public Bank Berhad kini muncul antara pilihan utama sektor perbankan tempatan selepas dijangka berpeluang menawarkan pulangan yang lebih menarik, menurut CGS International (CGSI).
Penilaian positif tersebut ujar firma penyelidikan berkenaan, susulan rancangan pengagihan dividen khas sehingga FY28, dan ia turut mengekalkan terus saranan ‘tambah’ terhadap saham kumpulan ini.
Di samping itu, ia percaya inisiatif pengurusan modal termasuk pembayaran dividen khas tersebut mampu untuk meningkatkan lagi nisbah pembayaran dividen yang melebihi 70% bagi FY26 hingga FY28.
"Faktor ini bersama pertumbuhan pendapatan bukan faedah serta pengembangan pulangan atas ekuiti (ROE) dijangka menjadi pemangkin penilaian semula saham Public Bank" kata CGSI dalam notanya.
Hasil dividen mengambil kira dividen khas, dan dijangka mencecah 6.2% bagi FY26, menjadikannya antara pilihan utama firma itu dalam sektor perbankan Malaysia menggantikan AMMB Holdings Berhad.
Menurutnya, keuntungan bersih bank tersebut bagi suku pertama FY26 dianggap masih sejajar jangkaan walaupun hanya dapat memenuhi sekitar 22% daripada unjuran tahunan firma dan konsensus pasaran.
CGSI namun menjangka prestasi lebih kukuh dalam suku akan datang, dipacu pertumbuhan hasil bukan faedah melalui strategi jual silang antara Public Bank dan syarikat sekutunya, LPI Capital Berhad.

"Pada masa sama, kami turut menyifatkan pengumuman pengagihan lebihan modal sebanyak RM3.5 bilion kepada pemegang saham sebagai kejutan positif kepada pasaran tempatan sendiri," jelas firma itu.
Bank itu dijangka melaksanakan pembaharuan menjelang Julai 2026 yang meningkatkan modal Common Equity Tier-1 (CET1) sebanyak satu mata peratusan, dengan mewujudkan lebihan modal RM3.5 bilion.
Justeru tambah CGSI, lebihan modal itu dijangka diagihkan kepada pemegang saham secara berperingkat antara FY26 hingga FY28 menerusi dividen khas tambahan kepada bentuk dividen biasa yang sedia ada.
Langkah itu jelasnya, boleh diterjemahkan kepada dividen khas sekitar enam sen sesaham setahun, yang mampu menambah sekitar 1.2% kepada hasil dividen tahunan Public Bank bagi tempoh berkenaan.
"Susulan itu, kami menaikkan unjuran dividen sesaham (DPS) FY26 hingga FY28 sekitar 24%, serta harga sasaran (TP) berasaskan model terdiskaun dinaikkan kepada RM6.60 daripada RM6.50," katanya.
Bagaimanapun, CGSI berkata risiko utama kepada penarafan saham itu termasuk kemungkinan kemerosotan ketara dalam pertumbuhan pinjaman serta kualiti aset Public Bank sendiri. - DagangNews.com








