KUALA LUMPUR 9 Mac – CGS International Futures Malaysia (CGS MYF), anak syarikat kepada CGS International Securities Malaysia (CGS MY) mengumumkan pelancaran produk VIX® dan Mini VIX® futures daripada Cboe Futures Exchange (CFE) di Malaysia.
Pelancaran ini membolehkan pelabur institusi dan runcit mengakses instrumen baharu untuk berdagang atau melindung nilai berdasarkan volatiliti pasaran saham.
Produk VIX® futures direka untuk memberi pelabur peluang memanfaatkan pergerakan volatiliti pasaran ekuiti, khususnya indeks S&P 500.
Instrumen ini membolehkan pelabur merancang strategi pelaburan tanpa mengira arah atau paras harga saham, menjadikannya alat penting dalam pengurusan risiko portfolio.
Mini VIX® futures pula yang bersaiz 1/10 daripada kontrak standard, menawarkan fleksibiliti lebih besar kepada pelabur runcit. Saiz kontrak yang lebih kecil ini membolehkan pelabur membuat pelarasan risiko dan pelaburan dengan lebih tepat serta mengurus modal dengan lebih efisien.
Ketua Pegawai Eksekutif CGS MY, Khairi Shari Arief Baki berkata, pelancaran produk ini adalah langkah penting untuk memenuhi permintaan tinggi daripada institusi kewangan Malaysia yang terlibat dengan pasaran saham Amerika Syarikat.
“Melalui rangkaian luas CGS MY dengan institusi tempatan dan antarabangsa, kami gembira dapat menyokong keperluan mereka dengan produk baru ini,” kata beliau.
Sementara itu, Ketua Negara CGS MY, Alan Inn Wei Loon pula berkata volatiliti kini menjadi ciri utama pasaran global.
“Dengan memperkenalkan VIX® futures, CGS MYF dapat memperluaskan tawaran derivative kami dan membantu pelabur Malaysia mengurus risiko serta mempelbagaikan portfolio mereka,” katanya.
Produk ini boleh didagangkan hampir 24 jam sehari, lima hari seminggu, membolehkan pelabur mengambil peluang dari perubahan pasaran pada bila-bila masa. Selain itu, pelabur boleh menggunakan VIX® futures untuk strategi perdagangan berasaskan berita ekonomi, pilihan raya, atau laporan kewangan syarikat.
CGS MYF dan CFE juga akan mengadakan siri webinar dan laporan penyelidikan untuk membantu pelabur memahami mekanisme dan strategi menggunakan VIX® futures. Pendidikan pelabur dianggap penting kerana perdagangan volatiliti memerlukan pemahaman mendalam tentang pasaran derivatif.
Ketua Jualan Derivatif APAC di Cboe Global Markets, Sharon Ang berkata VIX® dan Mini VIX® futures adalah alat penting bagi pelabur untuk mengurus risiko dan mengambil peluang dalam pasaran AS.
Produk ini juga membantu pelabur mengikuti perubahan volatiliti dengan lebih efektif.
Pelancaran ini juga menandakan komitmen CGS MYF terhadap inovasi dalam pasaran derivatif, selepas beberapa produk ciri baharu sebelum ini termasuk CME Cryptocurrencies dan Shariah-Compliant Futures.
Langkah ini menunjukkan usaha berterusan syarikat untuk memenuhi keperluan pelabur dari pelbagai latar belakang.
Dengan penawaran VIX® dan Mini VIX® futures, CGS MYF terus mengukuhkan kedudukannya sebagai penghubung utama pelabur Malaysia ke pasaran derivatif antarabangsa.
Produk ini bukan sahaja menawarkan peluang pengurusan risiko yang lebih baik, tetapi juga membuka ruang untuk pelabur memanfaatkan peluang pasaran yang pantas dan kompleks. - DagangNews.com








