CGC Digital, Funding Societies dan FarmByte bekerjasama bentuk rumusan kewangan PMKS industri pertanian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGC Digital, Funding Societies dan FarmByte bekerjasama bentuk rumusan kewangan PMKS industri pertanian

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 12 Feb - CGC Digital, Funding Societies | Modalku dan FarmByte menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi merapatkan jurang pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor pertanian. 

 

Kerjasama strategik itu bakal mempertingkatkan akses kepada pembiayaan dan menyokong pertumbuhan perniagaan pertanian, seterusnya menyumbang kepada agenda keselamatan makanan dan ketahanan ekonomi Malaysia.

 

Keselamatan makanan kekal menjadi isu penting bagi Malaysia seiring dengan cabaran seperti perubahan iklim, pembangunan, pertumbuhan populasi dan kebergantungan kepada makanan import. 

 

Walaupun isu keselamatan makanan semakin mendesak, PMKS dalam sektor pertanian menghadapi halangan besar memperoleh pembiayaan untuk mengembangkan perniagaan dan meningkatkan produktiviti. 

 

Banyak petani berskala kecil kekurangan cagaran yang diperlukan untuk mendapatkan pinjaman tradisional, yang mengehadkan lagi akses mereka kepada sumber kewangan. 

 

Kekurangan ilmu celik kewangan dalam kalangan petani juga menyukarkan mereka untuk mengendalikan pilihan pembiayaan yang kompleks. 

 

Selain itu, sektor pertanian sering dianggap sebagai sektor berisiko tinggi disebabkan kerentanannya terhadap perubahan iklim dan turun naik pasaran, yang menyebabkan institusi kewangan enggan memberikan pinjaman.

 

Kerjasama antara CGC Digital, Funding Societies dan FarmByte dijangka memberi kesan positif kepada petani tempatan. 

 

Dengan menyediakan pilihan pembiayaan inovatif, petani tempatan akan mendapat akses yang lebih baik kepada modal yang diperlukan untuk operasi lestari dan pengembangan perniagaan. 

 

Peningkatan celik kewangan dan akses kepada teknologi pertanian moden akan meningkatkan produktiviti dan kecekapan petani. 

 

Pelaksanaan strategi penilaian dan pengurusan risiko akan membantu petani mengurus ketidakpastian yang berkaitan dengan perubahan iklim dan turun naik pasaran. 

 

Fokus kepada kelestarian akan memastikan amalan pertanian yang mesra alam dan berdaya maju dari segi ekonomi dalam jangka panjang. 

 

Dengan menangani cabaran kewangan yang dihadapi oleh petani, kerjasama berkenaan akan memberi kuasa kepada mereka untuk menjadi lebih tahan lasak dan berdikari.

 

CEO CGC Digital, Yushida Husin berkata, pihaknya komited untuk menyokong inisiatif yang menangani isu kritikal keselamatan makanan di Malaysia. 

 

"Kerjasama dengan Funding Societies dan FarmByte akan merapatkan jurang pembiayaan dan memberi akses kewangan yang diperlukan oleh petani tempatan untuk berkembang. 

 

"Kami percaya dengan memanfaatkan data pertanian sebagai metrik skor kredit alternatif, ia bukan sahaja meningkatkan ketepatan penilaian kredit, tetapi juga menyediakan ekosistem kewangan yang lebih menyeluruh dan menyokong untuk PMKS pertanian," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Funding Societies, Wong Kah Meng berkata, kerjasama dengan CGC Digital mencerminkan komitmen bersamanya untuk memperkasakan perniagaan yang kurang dilayan di Malaysia. 

 

"Kami berusaha membina ekosistem pembiayaan yang lebih menyeluruh yang menggalakkan pertumbuhan perusahaan mikro dan kecil. 

 

"Dengan menggabungkan kepakaran CGC Digital dalam meningkatkan kredit dengan platform pembiayaan digital Funding Societies yang canggih disokong oleh ekosistem pertanian Farmbyte, kami mahu memberi lebih banyak akses kepada modal yang diperlukan oleh petani dan perniagaan pertanian untuk berkembang, mencipta pekerjaan dan memacu kemajuan ekonomi," jelasnya.

 

CEO FarmByte, Syed Aiman Kifli Syed Jaafar pula menyifatkan, perkongsian dengan CGC Digital dan Funding Societies selaras dengan visi syarikat untuk mengembankan industri pertanian dengan menyediakan sumber kewangan dan teknologi kepada petani. 

 

"Matlamat kami adalah untuk memperkasakan PMKS dalam sektor pertanian dengan lebih banyak akses kepada pembiayaan, membolehkan mereka mengembangkan perniagaan dan meningkatkan produktiviti.

 

"Melalui kerjasama ini, kami merapatkan jurang kewangan dan melengkapkan usahawan tani dengan sumber dan sokongan yang diperlukan untuk memacu ekosistem agro-makanan yang lebih tahan lasak dan lestari," ujarnya.

 

Melalui MoU itu, CGC Digital, Funding Societies dan FarmByte akan memanfaatkan kepakaran gabungan mereka untuk melaksanakan rumusan pembiayaan berdaya saing yang memenuhi keperluan unik MSME dalam sektor pertanian. 

 

CGC Digital akan memainkan peranan utama dalam mengurangkan risiko sebagai penyedia jaminan kredit utama dan meningkatkan model kebarangkalian kegagalan dengan data di peringkat ladang sebagai ukuran risiko alternatif bagi perniagaan pertanian, dengan itu mengurangkan risiko pinjaman dan meningkatkan akses kepada pembiayaan melalui penilaian kredit berasaskan data. 

 

Funding Societies akan menyediakan rumusan pembiayaan yang pantas dan fleksibel menggunakan penilaian kredit alternatif untuk memberi perkhidmatan kepada petani dan perniagaan pertanian yang mungkin kekurangan cagaran tradisional. 

 

FarmByte pula menyumbang data dan pandangan peringkat ladang untuk meningkatkan model penilaian kredit, memperbaiki penilaian risiko dan penyertaan kewangan. - DagangNews.com