KUALA LUMPUR 11 Feb – Tune Talk Sdn Bhd mencipta kelainan dengan menubuhkan Employee Share Trust Scheme (ESTS) inisiatif strategik yang meletakkan pekerja sebagai pemegang saham syarikat, sebagai langkah awal untuk proses tawaran awam permulaannya.
Langkah ini menjadikan Tune Talk sebagai syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia yang secara rasmi mengiktiraf pekerja sebagai pemilik ekuiti, seiring dengan rancangan syarikat untuk memperkukuh pertumbuhan dan memastikan pekerja turut mendapat manfaat daripada nilai yang mereka cipta.
Sebagai sebahagian daripada ESTS, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Gurtaj Singh Padda memindahkan 4.15% daripada saham peribadinya ke dalam tabung amanah khas untuk faedah pekerja syarikat.
Skim ini dijalankan mengikut perjanjian yang akan diuruskan oleh Pemegang Amanah yang dilantik.
Menurut Gurtaj Singh Padda, ESTS bertujuan memberi pekerja kepentingan sebenar dalam nilai syarikat selain daripada gaji bulanan dan sumbangan statutori.
“Kami mahu pekerja merasai impak hasil kerja keras mereka secara nyata. Skim ini memberi peluang kepada mereka menikmati faedah kewangan selari dengan pertumbuhan syarikat menjelang IPO,” katanya.
ESTS direka untuk memberi fleksibiliti kepada pekerja untuk menikmati manfaat daripada nilai syarikat, termasuk pengagihan dividen atau ganjaran berasaskan prestasi sebelum IPO.
Apabila syarikat disenaraikan, ia akan menjadi mekanisme untuk mengagihkan saham dan membantu pekerja memperoleh saham melalui kerangka Employee Share Option Scheme (ESOS).
Inisiatif ini turut selari dengan usaha kerajaan Malaysia untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan pekerja dan memupuk pengagihan kekayaan secara mampan dalam kalangan tenaga kerja.
Tune Talk, yang mula beroperasi pada 2009, adalah pengendali rangkaian mudah alih sepenuhnya berasaskan awan paling pesat berkembang di Asia. Syarikat ini terkenal dengan perkhidmatan panggilan, SMS, dan internet berkelajuan tinggi yang mampu milik, selain pelbagai insentif digital bagi memenuhi keperluan gaya hidup moden pelanggan.
Dengan langkah ESTS ini, Tune Talk meletakkan standard baru dalam penglibatan nilai pekerja, membolehkan mereka berkongsi secara langsung dalam momentum pertumbuhan syarikat sebelum penyenaraian awam. - DagangNews.com








