KUALA LUMPUR 14 Feb - Able Global Bhd berkata, siasatan antirasuah terhadap Pengerusi Eksekutifnya, Ng Keng Hoe, juga telah menjejaskan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Edward Goh Swee Wang.
Dalam makluman kepada Bursa, pembuat tin dan pengeluar produk tenusu itu berkata, Swee Wang telah direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memudahkan siasatan berterusan berhubung Pengerusinya.
Katanya, siasatan itu berkaitan dengan hal syarikat peribadi Keng Hoe.
"Semasa siasatan berterusan ini, syarikat dan kakitangannya kekal komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa berkaitan untuk memudahkan penyelesaian pantas dan cekap," kata Able Global.
Kedua-dua Swee Wang dan Keng Hoe adalah pemegang saham utama Able Global.
Swee Wang mengawal 19.28% kepentingan bersama bapanya Goh Mia Kwong, manakala Keng Hoe mempunyai 12.46% saham syarikat, menurut laporan tahunan terbaru syarikat itu.
Sebelum reman ke atas Swee Wang, Able Global telah mengumumkan lembaga pengarah dan pengurusan kanan utamanya secara kolektif akan mengambil alih fungsi pentadbiran dan tugasan eksekutif Keng Hoe yang digantung.
Kumpulan itu menubuhkan ebuah jawatankuasa pengurusan kerja sementara yang terdiri daripada pengurusan kanan utama dan wakil lembaga pengarah bagi menyelia fungsi eksekutif Keng Hoe, dan menyokong operasi berterusan syarikat.
"Syarikat ingin menegaskan semula dedikasinya untuk menegakkan piawaian integriti dan tadbir urus korporat tertinggi," katanya.
Able Global berkata, syarikat akan terus beroperasi seperti biasa, memastikan kesinambungan perniagaan sambil turut mematuhi nilai terasnya iaitu ketelusan dan akauntabiliti.- DagangNews.com








