KUALA LUMPUR 9 Feb – CBH Engineering Holding Berhad mampu mencatat keuntungan bersih yang mencecah RM90 juta bagi tahun kewangan 2026 (FY26), sekiranya margin bersih kekal sekitar 15%.
Menurut TA Securities, keuntungan kumpulan tersebut turut berpotensi besar disokong kadar penukaran buku tempahan yang jauh pantas daripada jangkaan, dengan rekod ketika ini sekitar 49% lebih tinggi.
Firma penyelidikan berkenaan menganggarkan buku tempahan terkumpul kini berjumlah RM681.2 juta, bersamaan 2.9 kali hasil FY24, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan jangka terdekat kukuh.
"Pengurusan CBH Engineering mengakui kira-kira RM600 juta daripada buku pesanan tersebut dijangka diiktiraf pada FY26 apabila projek memasuki fasa curam lengkung-S," katanya dalam nota kajian.
Perkembangan itu tambah TA Securities, kelazimannya mempercepatkan kadar pelaksanaan dan penjanaan hasil, dipacu kadar penukaran buku tempahan yang tinggi berbanding andaian awal RM400 juta.
Situasi tersebut katanya, mencerminkan peningkatan keupayaan pelaksanaan, dan dengan margin bersih konservatif, tahap itu menyokong anggaran keuntungan bersih yang jauh mengatasi unjuran terdahulu.
Dari segi prospek kontrak baharu, CBH Engineering mempunyai buku tender dihantar sekitar RM730 juta setakat akhir Januari 2026, kebanyakannya pula melibatkan projek mekanikal dan elektrikal (M&E).
"Selain itu, ia ada banyak kontrak pusat data (DC) di Lembah Klang dan Johor, dengan ada tender berada pada peringkat lanjutan dengan keputusan dijangka dalam masa yang terdekat," jelas TA Securities.
Keadaan positif tersebut tambahnya, menyokong pengisian semula buku tempahan ke FY26, dengan pihak pengurusan kumpulan menegaskan margin kekal berdaya tahan pada paras sihat antara 15% hingga 20%.
Ia turut disokong oleh pengurusan kos yang berdisiplin, kelebihan perolehan bahan serta peranan CBH Engineering sebagai kontraktor utama secara bersepadu bagi tender kerja-kerja M&E di negara ini.
Kumpulan ini juga kata TA Securities akan terus mengutamakan projek M&E sektor swasta, khususnya berkaitan DC, yang menawarkan margin lebih baik dan kebarangkalian kemenangan bidaan lebih tinggi.
"Sejajar dengan perkembangan ini, kami menaikkan unjuran pendapatan FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 34.3% dan 6.7%, serta menyemak naik harga sasaran (TP) kepada 82 sesaham sen," tambahnya.
Jelas firma tersebut, TP sebelum ini adalah 61 sen, dan peningkatan kali ini berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) disasarkan 19 kali, sambil mengekalkan saranan 'beli'. - DagangNews.com








