Caruman wajib KWSP pekerja asing mula dilaksana pada suku keempat 2025 - Amir Hamzah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Caruman wajib KWSP pekerja asing mula dilaksana pada suku keempat 2025 - Amir Hamzah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mac - Cadangan untuk mewajibkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja asing akan mula dilaksanakan pada suku keempat 2025.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaksanaan caruman mandatori KWSP kepada pekerja bukan warganegara dijangka dapat menggalakkan pihak majikan untuk mengambil lebih ramai pekerja tempatan.

 

Beliau berkata, selain itu ia akan struktur gaji pekerja tempatan ke arah aspirasi negara untuk mencapai negara berpendapatan tinggi. 

 

"Ini turut menyumbang kepada peningkatan penggunaan swasta domestik," katanya pada sesi ucapan penggulungan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2025 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Amir Hamzah berkata, pada masa ini, pekerja bukan warganegara diberi pilihan untuk menyertai skim KWSP dengan kadar caruman yang ditetapkan sebanyak 11% daripada kadar upah bulanan bagi syer pekerja dan RM5 sebulan bagi syer majikan.

 

Katanya, setakat Disember 2024, hanya 22,635 ataupun 0.9% daripada 2.5 juta pekerja bukan warganegara memilih untuk mencarum secara aktif ke KWSP.

 

"Perbezaan kadar caruman syer majikan turut menyumbangkan kepada situasi di mana kos upah bagi pekerja bukan warganegara adalah lebih rendah berbanding pekerja tempatan. 

 

"Berdasarkan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, setakat Disember 2024, 14.4% daripada tenaga buruh negara terdiri daripada pekerja bukan warganegara yang kebanyakannya tertumpu kepada pekerjaan asas dan separuh mahir.

 

"Kebergantungan kepada pekerja bukan warganegara dapat menyumbang kepada permintaan yang rendah kepada sumber tenaga pekerja tempatan," katanya.

 

Mengulas mengenai keputusan Singapura menghentikan caruman Central Provident Fund (CPF) kepada pekerja asing, Menteri Kewangan II berkata, Singapura dan Malaysia mempunyai keperluan serta  kebergantungan kepada tenaga buruh asing berikutan daripada faktor seperti struktur ekonomi dan demografi yang berbeza.

 

Beliau berkata, walaupun Singapura mengambil keputusan itu, terdapat lebih daripada 70 negara di seluruh dunia yang menyediakan perlindungan pendapatan persaraan mandatori kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan.

 

"Selain itu, negara yang mempunyai kebergantungan yang tinggi kepada pekerja yang bukan warganegara seperti Bahrain (78%) dan Oman (77%), turut bergerak ke arah memberikan perlindungan persaraan kepada pekerja bukan warganegara.

 

"Oleh itu, polisi mewajibkan perlindungan sosial kepada pekerja bukan warganegara ini adalah selari dengan amalan baik antarabangsa," katanya.- DagangNews.com