KUALA LUMPUR 24 Mac - Pelaksanaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) mandatori pekerja asing adalah merangkumi kepada semua pekerja termasuk mereka yang diambil bekerja secara kontrak untuk tempoh singkat.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, tanggungjawab caruman itu adalah terpakai kepada semua pekerja asing selaras dengan garis panduan dan amalan baik antarabangsa.
Beliau berkata, KWSP juga akan bekerjasama dengan kementerian-kementerian dan agensi-agensi berkaitan seperti Kementerian Dalam Negeri serta Jabatan Imigresen Malaysia supaya maklumat pekerja asing yang bekerja di Malaysia akan dikongsikan bagi memastikan pelaksanaan yang teratur dan berkesan.
"Dengan adanya caruman pekerja dan majikan bagi pekerja bukan warganegara, dasar ini akan dapat menggalakkan dan membantu dalam memastikan pekerja bukan warganegara kekal bekerja secara sah di Malaysia.
"Terdapat juga sebilangan majikan mengalu-alukan polisi ini kerana ia dapat membantu mengurangkan kes-kes pekerja bukan warganegara yang tidak memenuhi kontrak pekerja, seperti bekerja dengan majikan lain secara tidak sah," katanya ketika ucapan penggulungan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2025 di Dewan Negara, hari ini.
Amir Hamzah berkata, pelaksanaan RUU itu adalah selaras dengan prinsip keadilan dalam pasaran buruh dengan memastikan perlindungan sosial untuk semua pekerja sejajar dengan piawaian antarabangsa di dalam Artikel 68, Konvensyen 102 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang menyatakan, individu bukan warganegara seharusnya mempunyai hak yang sama seperti warganegara untuk mendapat perlindungan sosial.
Katanya, pada masa ini, terdapat jurang perlindungan yang mana pekerja bukan warganegara tidak mendapat perlindungan sosial bagi risiko pendapatan di usia tua.
Beliau berkata, jurang perlindungan ini adalah tidak selaras dengan komitmen Kerajaan dalam mendukung piawaian antarabangsa bagi memenuhi prinsip kesaksamaan kepada pekerja tanpa mengira kewarganegaraan seperti yang diperincikan dalam piawaian antarabangsa seperti Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) 1 dan 8, dan Global Compact for Migration 2018 – Objektif 22 yang menyarankan negara anggota untuk memperluaskan perlindungan sosial kepada pekerja bukan warganegara.
"ILO juga menyarankan melalui Cadangan 151 (pekerja asing) agar negara anggota memberi akses perkhidmatan sosial kepada pekerja bukan warganegara, termasuk keselamatan sosial. Pertubuhan itu juga menyarankan agar hak keselamatan sosial pekerja bukan warganegara dilindungi melalui perjanjian bilateral atau multilateral.
"Pengiktirafan sebagai negara yang patuh piawaian antarabangsa ini juga dapat melindungi majikan daripada risiko sekatan antarabangsa seperti yang pernah dihadapi oleh syarikat tempatan akibat tuduhan layanan terhadap pekerja yang kurang baik.
"Selaras dengan perancangan Kerajaan Madani untuk mempertingkatkan serta memperkasakan industri tempatan melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Malaysia tidak boleh mengambil risiko yang boleh mengakibatkan sekatan perdangangan," katanya.- DagangNews.com








