Caruman KWSP mandatori pekerja asing kawal aliran wang ke luar negara, kukuh nilai ringgit - Menteri Kewangan II | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Caruman KWSP mandatori pekerja asing kawal aliran wang ke luar negara, kukuh nilai ringgit - Menteri Kewangan II

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mac - Pelaksanaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mandatori untuk pekerja bukan warganegara dapat membantu mengawal aliran wang ke luar negara dan pada masa sama mengukuhkan nilai ringgit.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, majoriti pekerja bukan warga negara mempunyai kadar pendapatan boleh guna lebih tinggi memandangkan mereka tidak perlu mencarum kepada KWSP.

 

Beliau berkata, ia merupakan antara faktor yang menyumbang kepada aliran keluar wang (remittances) dengan anggaran sebanyak RM34.2 bilion kiriman wang rasmi (laporan Bank Negara Malaysia, 2023).

 

"Keadaan ini secara langsung boleh memberi tekanan kepada nilai mata wang Ringgit Malaysia serta imbangan pembayaran (Balance of Payments) negara.

 

"Dengan pelaksanaan polisi ini, sebahagian daripada pendapatan pekerja bukan warganegara akan disalurkan ke dalam akaun KWSP pekerja tersebut bagi simpanan persaraan mereka dan secara langsung dapat mengekang sebahagian kiriman wang ke luar negara oleh pekerja bukan warganegara," katanya pada sesi ucapan penggulungan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2025 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Amir Hamzah berkata, dengan mewajibkan caruman KWSP, ia secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja bukan warganegara dalam jangka masa panjang sekali gus meningkatkan daya saing perniagaan tempatan yang mendorong kepada peralihan perniagaan ke arah automasi.

 

Katanya, kebergantungan kepada pekerja bukan warganegara berpotensi mengekang pengadaptasian teknologi, menjejaskan peralihan industry di Malaysia ke arah Revolusi Perindustrian 4.0, serta menyumbang kepada proses nyahindustrialisasi dalam kalangan syarikat tempatan. 

 

"Sekiranya tiada caruman KWSP untuk pekerja bukan warganegara, ini menyebabkan kadar untuk menggaji pekerja bukan warganegara lebih murah berbanding pekerja tempatan.

 

"Pada masa sama ia dapat membantu kerajaan dalam mengurangkan pekerja bukan warganegara tanpa dokumen kerana hanya pekerja yang sah berdaftar dengan majikan layak mencarum ke dalam KWSP," katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata, bagi tidak membebankan majikan, kerajaan pada 3 Februari 2025 mengumumkan caruman syer majikan akan ditetapkan pada kadar 2% dan caruman syer pekerja sebanyak 2%. 

 

Katanya, kadar caruman itu adalah lebih rendah berbanding kadar caruman mandatori yang ditetapkan untuk pekerja warganegara Malaysia dan pemastautin tetap, iaitu 11% bagi syer pekerja, dan 12% atau 13% bagi syer majikan.

 

"Ini untuk memastikan peningkatan kos kepada majikan adalah terkawal dan berstruktur, sekali gus mengurangkan risiko kejutan ekonomi (economic shock) yang mendadak," katanya. - DagangNews.com