Cape EMS kembangkan perniagaan baharu dalam sektor RE, BESS & pengecas EV untuk industri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cape EMS kembangkan perniagaan baharu dalam sektor RE, BESS & pengecas EV untuk industri

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Mac – Cape EMS Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Cape Renewables Sdn Bhd kini memperluas platform tenaga boleh diperbaharuinya secara agresif untuk merebut peluang infrastruktur yang semakin rancak di Asia Tenggara.

 

Pengembangan ini adalah sebahagian daripada strategi transformasi CEB 2.0 yang memfokuskan Cape EMS daripada pembuatan elektronik tradisional ke sektor infrastruktur bernilai tinggi.

 

Melalui Cape Renewables, kumpulan ini akan menyediakan penyelesaian tenaga sepenuhnya yang menggabungkan penjanaan tenaga solar, sistem penyimpanan bateri (BESS) dan platform pengurusan tenaga pintar.

 

Sistem mikrogrid dan hibrid yang dibangunkan itu direka khas untuk membantu pengendali industri menurunkan kos utiliti, memastikan bekalan tenaga yang stabil, dan beralih ke operasi rendah karbon.

 

Pengarah Urusan Cape EMS Berhad, Christina Tee Kim Chin berkata berkata pengembangan ini selaras dengan perubahan signifikan dalam corak penggunaan tenaga di sektor industri.

 

“Peralihan kepada tenaga bersih bukan lagi sekadar pilihan, tetapi merupakan hala tuju yang tidak dapat dielakkan bagi pembangunan industri.

 

“Melalui Cape Renewables, kumpulan ini bertekad membantu pengendali industri mengurangkan kos tenaga serta kebergantungan terhadap bahan bakar fosil.

 

“Tenaga boleh diperbaharui, penyimpanan bateri, dan infrastruktur pengecas EV mewakili peluang pertumbuhan industri yang paling penting dalam dekad akan datang. Cape EMS komited sepenuhnya untuk membina ekosistem tenaga yang lebih pintar, bersih, dan berdaya tahan di seluruh Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan.

 


Tekanan global terhadap kos bahan bakar telah dipercepatkan oleh ketegangan di Timur Tengah dan ancaman gangguan di Selat Hormuz, salah satu laluan penghantaran minyak paling penting di dunia.

 

Di peringkat domestik, kenaikan kos bahan bakar terus memberi kesan kepada pelbagai sektor, termasuk penerbangan dan logistik.

 

Beliau berkata teknologi tenaga boleh diperbaharui dan sistem penyimpanan bateri Cape EMS dilihat sebagai infrastruktur kritikal yang dapat melindungi pengendali komersial daripada kejutan harga bahan bakar.

 

“Pelaksanaan pengembangan teknikal ini dibantu oleh kerjasama strategik Mac 2025 dengan Aerospace Industrial Development Corporation Taiwan, yang menyediakan rangka kerja teknologi untuk penyelesaian tenaga berskala industri.

 

“Selain mikrogrid industri, Cape Renewables sedang membangunkan platform pemetaan infrastruktur pengecas kenderaan elektrik di seluruh negara untuk mengenal pasti lokasi penempatan yang optimum di lebuh raya, taman perindustrian, dan koridor bandar.

 

“Platform ini akan mengintegrasikan penjanaan tenaga boleh diperbaharui dan sistem penyimpanan bateri terus ke nod pengecas, bagi mengurangkan tekanan ke atas grid tenaga nasional dan mempercepatkan pelaksanaan rangkaian pengecas lestari,” katanya.

 

Cape EMS beribu pejabat di Johor dengan operasi global, menyediakan perkhidmatan rumusan elektronik dan kejuruteraan kepada pelbagai industri serta komited membina ekosistem tenaga yang lebih pintar, bersih, dan berdaya tahan di Malaysia dan Asia Tenggara. - DagangNews.com