Cahya Mata Sarawak fail permohonan cabar keputusan timbang tara berkaitan pertikaian dengan Malaysian Phosphate Venture | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cahya Mata Sarawak fail permohonan cabar keputusan timbang tara berkaitan pertikaian dengan Malaysian Phosphate Venture

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Mac — Cahya Mata Sarawak Bhd (CMSB) memfailkan permohonan untuk mengetepikan keputusan timbang tara serta mendapatkan perintah penangguhan pelaksanaannya susulan pertikaian dengan Malaysian Phosphate Venture Sdn Bhd (MPV).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, CMSB berkata pihaknya telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas nasihat penasihat undang-undang.

 

Menurut syarikat itu, CMSB turut memohon penangguhan terhadap pengiktirafan dan pelaksanaan award timbang tara tersebut sementara menunggu keputusan mahkamah.

 

 

 

 

 

 

“Sebarang perkembangan material selanjutnya akan diumumkan kepada Bursa Securities dari semasa ke semasa,” katanya.

 

Pertikaian timbang tara berkenaan melibatkan tuntutan yang difailkan oleh MPV terhadap dua anak syarikat CMSB, iaitu Samalaju Industries Sdn Bhd (milik penuh) dan Cahya Mata Phosphates Industries Sdn Bhd (CMPI), yang dimiliki sebanyak 80.19%.

 

Keputusan akhir timbang tara yang memihak kepada MPV telah dikeluarkan oleh Asian International Arbitration Centre pada 12 Mac lalu, namun butiran award tidak didedahkan berikutan faktor kerahsiaan.

 

CMPI, yang sebelum ini dikenali sebagai Malaysian Phosphate Additives (Sarawak) Sdn Bhd, pada asalnya merupakan usaha sama melibatkan Samalaju Industries, MPV dan Arif Enigma Sdn Bhd.

 

 

 

 

 

Sejak 2022, CMPI turut berdepan pertikaian dengan syarikat utiliti Sarawak, Syarikat Sesco Bhd, berhubung perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang dimeterai pada 2019. Pertikaian itu timbul apabila Sesco mengenakan bil bagi kekurangan penggunaan elektrik secara kumulatif, walaupun CMSB berhujah bahawa loji berkenaan masih belum memulakan operasi komersial.

 

Saham CMSB ditutup susut empat sen atau 3.5% kepada RM1.12 pada Selasa, sekali gus meletakkan permodalan pasarannya sekitar RM1.2 bilion. - DagangNews.com