Cadangan pengambilalihan MyTech: Penasihat bebas anggap tidak munasabah, saran pemegang saham tolak tawaran Gain Millen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cadangan pengambilalihan MyTech: Penasihat bebas anggap tidak munasabah, saran pemegang saham tolak tawaran Gain Millen

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 12 Jan - Tawaran pengambilalihan RM0.30 bagi MyTech Group Berhad oleh Gain Millen Sdn Bhd telah dianggap tidak munasabah oleh penasihat bebas DWA Advisory Sdn Bhd, yang telah menasihati pemegang saham supaya menolak tawaran tersebut kerana ia disifatkan tidak adil dan tidak menguntungkan.

 

DWA Advisory menegaskan, tawaran RM0.30 sesaham ini mewakili diskaun 7.69% berbanding harga terakhir yang diniagakan pada RM0.3250, serta diskaun antara 5.84% hingga 10.37% berbanding purata tertimbang volum (VWAP) saham MyTech bagi tempoh lima hari, satu bulan, tiga bulan, enam bulan, dan satu tahun.

 

Berdasarkan kaedah penilaian sum-of-parts (SOPV), saham MyTech dianggarkan bernilai antara RM0.33 hingga RM0.36 sesaham, bermakna tawaran ini lebih rendah sebanyak 8% hingga 17%, menjadikannya tidak adil kepada pemegang saham.

 

Penasihat bebas itu menegaskan, walaupun harga pasaran telah berubah sejak notis dikeluarkan, ia tidak semestinya mencerminkan nilai sebenar saham MyTech pada masa depan.

 

Selain aspek harga, tawaran ini turut dianggap tidak munasabah kerana Gain Millen bercadang mengekalkan penyenaraian MyTech di Pasaran Utama Bursa Malaysia, membolehkan pemegang saham terus berdagang selepas tawaran ditutup.

 

Ini memberi peluang kepada pemegang saham lebih kecil untuk mendapatkan pulangan lebih baik di pasaran terbuka, walaupun saham MyTech agak kurang cair berbanding KLPRO sepanjang tahun lepas.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pengerusi Eksekutif Mytech tawar ambil alih mandatori pada 30 sen sesaham

 

Penasihat juga menyatakan, Gain Millen dan pemilik tawaran utama tidak bercadang untuk menggunakan pengambilalihan paksa di bawah Seksyen 222(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan (CMSA), bermakna pemegang saham yang menolak tawaran tidak akan dipaksa menjual saham mereka.

 

Setelah menilai aspek keadilan dan kewajaran, DWA Advisory menegaskan, tawaran RM0.30 sesaham ini wajar ditolak.

 

"Pemegang saham disarankan untuk memantau harga pasaran, jumlah dagangan, dan sebarang pengumuman terkini sebelum membuat keputusan sama ada menerima atau menolak tawaran tersebut," katanya.

 

DWA Advisory turut menekankan, nasihat ini adalah umum dan tidak mengambil kira objektif pelaburan atau profil risiko individu pemegang saham.

 

Pemegang saham yang memerlukan panduan khusus digalakkan berunding dengan broker saham, akauntan, peguam atau penasihat profesional lain sebelum bertindak. - DagangNews.com