Cadangan AMMB lupus perniagaan insurans bernilai RM1.12 bilion kepada Great Eastern ditamatkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cadangan AMMB lupus perniagaan insurans bernilai RM1.12 bilion kepada Great Eastern ditamatkan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Feb - Cadangan AMMB Holdings Bhd untuk melupuskan perniagaan insurannya bernilai RM1.12 bilion kepada Great Eastern telah ditamatkan.

 

AMMB berkata, mereka telah mencapai persetujuan bersama dengan MetLife dan Great Eastern Holdings untuk tidak meneruskan cadangan penjualan AmMetLife Insurance Bhd dan AmMetLife Takaful Bhd kepada Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Bhd dan Great Eastern Takaful Bhd.

 

"Kesemua pihak bersetuju untuk tidak meneruskan cadangan pengambilalihan itu," katanya dalam atu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu juga tidak memberikan sebarang maklumat lanjut mengenai perkara itu.

 

Terdahulu, cadangan pengambilalihan itu akan menyaksikan Great Eastern Life Assurance memperoleh 100% saham dalam AmMetLife Insurance Berhad, manakala Great Eastern Takaful akan memperoleh 100% saham dalam AmMetLife Takaful.

 

ARTIKEL BERKAITAN: AMMB, MetLife jual AmMetLife Insurance, Takaful kepada Great Eastern pada harga RM1.12 billion

 

Penjualan yang dicadangkan itu tertakluk kepada kelulusan kawal selia daripada Bank Negara Malaysia dan/atau Menteri Kewangan serta Pihak Berkuasa Kewangan Singapura, antara lain.

 

Selepas mendapat kelulusan kawal selia yang diperlukan, pihak terbabit akan meneruskan perjanjian jual beli, katanya.

 

Apabila cadangan itu selesai, Great Eastern Life Assurance akan memegang 100% AmMetLife Insurance dan Great Eastern Takaful akan memiliki 100% AmMetLife Takaful.

 

Great Eastern merupakan anak syarikat OCBC Bank, bank Singapura yang paling lama ditubuhkan. - DagangNews.com