BYD perkenal MPV elektrik mewah Denza D9 di Malaysia, harga bermula RM259,000 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BYD perkenal MPV elektrik mewah Denza D9 di Malaysia, harga bermula RM259,000

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 21 Feb - Denza, sub-jenama premium di bawah BYD secara rasmi memasuki pasaran automotif Malaysia dengan pelancaran model Denza D9 pada harga bermula dari RM259,000.

 

Dengan tema Menyerlahkan Kemewahan, Denza yang ditawarkan dalam dua model iaitu Denza D9 Advanced (FWD) pada harga RM259,000 dan Denza D9 Premium (AWD) berharga RM309,000, mentakrifkan semula kemewahan pengangkutan moden dengan menggabungkan reka bentuk elegan, teknologi inovatif dan prestasi lestari. 

 

Seiring dengan pertambahan segmen premium baharu, BYD berhasrat untuk memberikan pengalaman pemanduan luar biasa melalui Denza, menunjukkan komitmen syarikat terhadap inovasi berterusan dan pengangkutan hijau untuk memenuhi keperluan pasaran yang pelbagai di Malaysia.

 

denza

 

Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto Asia Pasifik BYD, Liu Xueliang berkata, Denza bukan sahaja menawarkan teknologi canggih, tetapi juga memberikan manfaat lestari selari dengan visi masa depan bebas pelepasan karbon. 

 

"Teknologi Denza menerima sambutan luar biasa daripada pengguna global dan kami amat teruja untuk menerima sambutan positif yang sama daripada rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ditubuhkan pada tahun 2010 sebagai usaha sama 50-50 antara BYD dan Mercedes-Benz, Denza menggabungkan teknologi canggih BYD dengan kemewahan Mercedes-Benz. 

 

Selepas penstrukturan semula pemilikan pada tahun 2021 dan 2024, Denza kini menjadi anak syarikat milik penuh BYD. 

 

Kejayaan Denza diserlahkan dengan pelancaran D9, sebuah MPV mewah yang mendapat sambutan positif di peringkat global.

 

denza

 

Sejak memperkenalkan model pertamanya pada tahun 2014, Denza telah mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama premium, menawarkan pelbagai model elegan dan eksklusif merangkumi segmen SUV, MPV dan sedan. 

 

Dengan dedikasi terhadap inovasi dan kemewahan, Denza terus membuat kemajuan besar dalam pengembangannya di peringkat global. 

 

Denza yang mencerminkan visi itu, menyediakan keselesaan dan keselamatan luar biasa, memastikan setiap perjalanan lebih istimewa. 

 

Dilancarkan buat kali pertama pada tahun 2022 sebagai MPV pintar dan mewah, Denza D9 berjaya mengimbangi keperluan perniagaan dan peribadi.

 

denza

 

Sebagai peneraju dalam inovasi, Denza tampil dengan teknologi canggih dalam segmen kenderaan elektrik MPV premium. 

 

Sistem e3 Denza yang berkuasa merangkumi tiga motor elektrik, stereng roda belakang, teknologi Cell-to-Body (CTB) dan Kawalan Pergerakan Kenderaan (VMC), menghasilkan prestasi unggul dalam pelbagai keadaan pemanduan. 

 

Sistem kawalan badan pintar DiSus pula meningkatkan pengalaman pemanduan dengan suspensi aktif DiSus-C untuk kestabilan dalam semua keadaan dan DiSus-A untuk pelarasan dinamik, memaksimumkan keselesaan serta mengoptimumkan keupayaan luar jalan.

 

denza

 

Melalui inovasi berterusan dan perhatian terhadap perincian, Denza memberikan pengalaman pemanduan yang luar biasa. 

 

Pengarah Urusan BYD Malaysia Sdn Bhd, Eagle Zhao berkata, pengenalan Denza memenuhi keperluan pemandu yang pelbagai di Malaysia, menawarkan pilihan lebih premium sambil memperluaskan portfolio produk BYD. 

 

"Dengan pelancaran model pertama kami, Denza D9 merupakan MPV EV tulen pertama kami yang menggabungkan inovasi canggih, reka bentuk elegan dan ciri mewah. 

 

"Kami berharap dapat melihat rakyat Malaysia merasai pengalaman Denza serta menikmati teknologi premium dan ciri-ciri termaju yang ditawarkan," ujarnya.

 

Denza turut menjalin kerjasama strategik dengan jenama audio mewah Perancis yang terkenal, Devialet. 

 

denza

 

Kerjasama itu, yang dilancarkan secara rasmi pada 22 Mac 2023, menandakan pencapaian penting dalam komitmen berterusan jenama untuk menggabungkan teknologi pintar dengan pengalaman holistik dan deria. 

 

Devialet yang diiktiraf di peringkat global atas kejuruteraan bunyi yang unggul serta reka bentuk Perancis yang elegan, selari dengan usaha berterusan Denza dalam mengejar inovasi, kemewahan dan prestasi.

 

Denza D9 tersedia dalam tiga pilihan warna iaitu Arctic White, Cosmos Black dan Whale Sea Blue. 

 

Bagi bahagian dalaman, Denza D9 menawarkan pilihan warna Beige dan Brown, yang menambahkan lagi daya tarikan visualnya.

 

denza

 

Denza D9 ditawarkan dengan jaminan sehingga lapan tahun atau 160,000 km untuk bateri (SOH melebihi 70% atau lebih) serta jaminan sehingga lapan tahun atau 150,000 kilometer untuk motor pacuan dan pengawal motornya. 

 

Selain itu, Denza D9 turut dilengkapi dengan jaminan kenderaan sehingga enam tahun atau 150,000 kilometer.

 

Pelanggan yang ingin merasai pengalaman pemanduan Denza D9 boleh mengunjungi acara pelancaran yang berlangsung di The Landing, KL Base dari 21 hingga 23 Februari 2025.

 

Pelbagai aktiviti menarik termasuk turut diadakan antaranya pandu uji, pameran teknologi Denza, pengalaman bilik pameran VR dan banyak lagi. - DagangNews.com