Bus Cap terima kelulusan Bursa Malaysia untuk IPO di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bus Cap terima kelulusan Bursa Malaysia untuk IPO di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 April – Bus Cap Berhad sebuah syarikat pembuatan bas  dengan pengalaman lebih 58 tahun telah memperoleh kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraian di Pasaran ACE.

 

IPO itu melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak 126,516,400 saham biasa termasuk terbitan awam sebanyak 107,347,200 saham baharu dan tawaran jualan 19,169,200 saham sedia ada melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

TA Securities Holdings Berhad dilantik sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penjamin, dan Ejen Penempatan bagi IPO tersebut.

 

Dengan sejarah yang kukuh lebih daripada lima dekad, Bus Cap telah membina rekod cemerlang dalam menyediakan perkhidmatan kepada pengendali bas, syarikat pelancongan, dan agensi kerajaan di Malaysia. Syarikat ini juga telah mengembangkan pasaran mereka ke Singapura.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, Bus Cap mencatatkan pendapatan kira-kira RM56.4 juta dan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) sebanyak RM6.9 juta. Peningkatan prestasi kewangan ini disokong oleh permintaan yang tinggi untuk bas pelbagai guna dan kapasiti tinggi.

 

Pengarah Urusan Bus Cap, Ng Chai Sing menyifatkan kelulusan IPO daripada Bursa Malaysia sebagai pengesahan kukuh terhadap asas yang telah dibina syarikat selama lima dekad.

 

Beliau berkata, peralihan ke pasaran awam memberi Bus Cap kelenturan kewangan untuk memodenkan operasi dan meningkatkan kapasiti bagi menangani permintaan yang semakin meningkat daripada pengendali bas di Malaysia dan Singapura.

 

Hasil IPO yang diperoleh akan digunakan untuk membiayai pembangunan fasiliti pengeluaran baharu serta integrasi teknologi fabrikasi separa automatik. Langkah ini bertujuan meningkatkan produktiviti operasi dan memenuhi pesanan yang semakin berkembang.

 

Selain itu, syarikat turut merancang pengukuhan modal kerja bagi memastikan kelancaran operasi harian dan memperkukuh kedudukan kewangan untuk pertumbuhan jangka panjang.

 

Bus Cap menjalankan operasi terasnya melalui anak syarikat milik penuhnya, Sin Hock Leong Coach Works Sdn Bhd, yang terlibat dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan, dan penyelenggaraan bas. Syarikat ini menawarkan pelbagai jenis bas untuk pelbagai kegunaan seperti bas dalam bandar, ekspres dan pelancongan. 

 

Dengan strategi pengembangan ini, Bus Cap mensasarkan untuk terus memperkukuh kedudukannya dalam industri pembinaan bas serantau dan meningkatkan daya saing melalui teknologi dan kapasiti pengeluaran yang lebih efisien. - DagangNews.com