Bursa tolak permohonan Capital A, benarkan lanjutan bagi AAX sehingga 19 Jan 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa tolak permohonan Capital A, benarkan lanjutan bagi AAX sehingga 19 Jan 2026

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 7 Jan - Bursa Securities menolak permohonan Capital A Bhd untuk mendapatkan lanjutan masa bagi melengkapkan pengagihan saham AirAsia X Bhd kepada para pemegang sahamnya.

 

Walaupun permohonan itu ditolak, kumpulan tersebut memaklumkan dalam pemfailan di Bursa Malaysia, syarikat itu masih merancang untuk melaksanakan pengagihan saham AAX secara serentak dengan penempatan persendirian AAX yang akan datang.

 

Sementara itu, Bursa meluluskan satu permohonan berasingan oleh AAX untuk melanjutkan tempoh sehingga 19 Jan bagi melengkapkan cadangan penempatan persendirian, pengambilalihan AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL), serta pemberian opsyen langganan.

 

Capital A sebelum ini dikehendaki melengkapkan pengagihan saham AAX selewat-lewatnya pada 2 Jan 2026, iaitu sebulan selepas tarikh kelayakan (entitlement date) pada 3 Dis 2025.

 

Bagaimanapun, Capital A memohon agar tarikh akhir itu dilanjutkan kepada 19 Jan susulan penempatan persendirian AAX bernilai RM1 bilion yang berdepan kelewatan dokumentasi daripada pelabur yang telah dikenal pasti.

 

Capital A menjelaskan, tarikh kelayakan asal pada 3 Dis ditetapkan berdasarkan andaian bahawa AAX mempunyai masa yang mencukupi untuk melengkapkan penempatan persendiriannya sebelum tarikh akhir 31 Dis 2025.

 

“Pada masa pengumuman tarikh kelayakan dibuat, tiada sebarang petunjuk yang menunjukkan pelabur yang dikenal pasti tidak mampu memenuhi garis masa yang ditetapkan oleh AAX, dan adalah munasabah untuk menjangkakan bahawa penempatan persendirian AAX dapat diselesaikan dalam tempoh yang diluluskan — iaitu menjelang 31 Dis 2025 — selaras dengan sasaran penyelesaian AAX,” katanya.

 

Capital A turut menjelaskan, penetapan tarikh kelayakan pada 3 Dis adalah perlu bagi membolehkan kumpulan mengemukakan permohonan ke Mahkamah Tinggi berkaitan latihan pengurangan modal sahamnya.

 

Menurutnya, amaun pengurangan tersebut hanya boleh ditentukan dengan merujuk kepada harga penutupan saham AAX pada tarikh berkenaan.

 

“Oleh itu, permohonan bagi perintah mahkamah tambahan tidak boleh dibuat sehingga tarikh kelayakan diumumkan. Sehubungan itu, tarikh kelayakan pada 3 Dis 2025 telah dirancang dengan teliti bagi menyediakan ruang masa yang mencukupi untuk Capital A memperoleh perintah mahkamah tambahan,” katanya.

 

Kumpulan itu memaklumkan, ia bercadang untuk memperuntukkan dan menerbitkan saham pengagihan sebaik sahaja saham-saham tersebut diperuntukkan dan diterbitkan, secara serentak dengan penempatan persendirian AAX.

 

Pengagihan saham dan penempatan persendirian itu merupakan komponen penting dalam pelan penstrukturan semula Capital A untuk keluar daripada status PN17.

 

Di bawah pelan tersebut, AAX akan mengambil alih perniagaan penerbangan Capital A — AAAGL dan AirAsia Bhd — pada nilai RM6.8 bilion bagi menyatukan semua syarikat penerbangan AirAsia jarak dekat dan sederhana di bawah satu entiti tersenarai.

 

Penempatan persendirian AAX bernilai RM1 bilion pula bertujuan membiayai operasi kumpulan penerbangan yang diperbesarkan itu. - DagangNews.com