Bursa Malaysia sahkan insiden keselamatan siber berjaya dibendung tanpa jejaskan operasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia sahkan insiden keselamatan siber berjaya dibendung tanpa jejaskan operasi

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 12 MacBursa Malaysia Berhad mengesahkan beberapa firma broker mengalami insiden keselamatan siber melibatkan komponen sistem dalaman, namun keadaan itu berjaya dibendung.


Menurutnya dalam satu kenyataan hari ini, isu tersebut turut dapat ditangani dengan pantas tanpa menjejaskan operasi pasaran, manakala broker yang terlibat pula sudah mengambil langkah segera.


Mereka jelasnya, dilaporkan bertindak mengasingkan sejumlah komponen sistem yang terjejas serta mengaktifkan prosedur tindak balas insiden dalaman bagi mengekang gangguan tersebut berulang.


"Insiden berkenaan namun terhad kepada sistem broker yang terlibat sahaja, serta tidak memberi sebarang kesan kepada rangkaian, platform atau infrastruktur Bursa Malaysia sendiri," jelasnya.


Tambahnya, semua aktiviti dagangan dan operasi pasaran terus berfungsi seperti biasa, selepas  pihaknya segera mengaktifkan protokol tindak balas keselamatan siber sejurus menerima laporan.


Di samping itu, pengurusan bursa tersebut juga bekerjasama rapat dengan firma broker yang terjejas bagi memastikan segala tindakan pembendungan serta pemulihan dapat dilaksanakan dengan cepat.


Broker-broker yang terlibat ujarnya, kini sedang menjalankan siasatan forensik penuh dan akan menyerahkan laporan kepada Bursa Malaysia melalui saluran penyeliaan yang sudah ditetapkan.


"Setakat ini, Bursa Malaysia menegaskan yang tiada bukti aktiviti dagangan tanpa kebenaran atau kerugian kewangan dikesan susulan insiden keselamatan siber tersebut," kata kenyataan tersebut.
 

bursa


Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, bursa itu mengarahkan semua broker serta beberapa vendor yang berkaitan untuk menjalankan saringan menyeluruh terhadap sistem masing-masing.


Selain itu, ia mengeluarkan nasihat keselamatan serta taklimat bagi memperkukuh aspek kawalan siber, dan pada masa sama, Bursa Malaysia turut melaksanakan beberapa kawalan risiko tambahan.


Antaranya penguatkuasaan pengesahan pelbagai faktor (MFA) bagi semua antara muka utama bersambung dengan sistem bursa itu, serta protokol pengasingan bagi sistem atau sambungan yang terjejas.


"Tahap pemantauan turut dipertingkatkan bagi mengesan sebarang aktiviti luar biasa dengan lebih awal, manakala proses tindak balas insiden yang lebih kukuh dilaksanakan," tambahnya lagi.


Langkah tersebut kata Bursa Malaysia, merupakan sebahagian daripada usaha industri yang mula diperkenalkan tahun lalu bagi memperkukuh daya tahan keselamatan siber ekosistem pasaran modal.


Pihak bursa turut menjalankan semakan menyeluruh terhadap piawaian keselamatan teknologi maklumat (IT) untuk firma broker, termasuk memperkukuh pemantauan ke atas vendor perkhidmatan maklumat.


Usaha itu jelasnya, bagi melindungi sistem kritikal daripada ancaman siber baharu, dengan rangka kerja keselamatan yang dipertingkatkan itu dijangka berkuat kuasa pada suku keempat 2026.


"Bursa Malaysia akan terus memantau situasi berkenaan secara rapi dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan integriti serta keselamatan pasaran kekal terpelihara," katanya. - DagangNews.com