Bursa Malaysia denda KAF Investment Bank RM300,000, keluar teguran awam berhubung pelanggaran keperluan penyenaraian pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia denda KAF Investment Bank RM300,000, keluar teguran awam berhubung pelanggaran keperluan penyenaraian pasaran ACE

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 Mac — Bursa Malaysia Securities Berhad mengeluarkan teguran awam serta mengenakan denda sebanyak RM300,000 terhadap KAF Investment Bank Berhad berhubung pelanggaran Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE.

 

Dalam kenyataan hari ini Bursa Malaysia berkata, tindakan itu dikenakan terhadap KAF Investment Bank selaku penaja kepada sebuah syarikat pemohon yang memohon kemasukan ke Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities.

 

Menurut Bursa Malaysia, bank pelaburan itu didapati melanggar beberapa peruntukan utama dalam Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE (ACE LR), termasuk kegagalan menjalankan usaha wajar yang munasabah berkaitan ketidakpatuhan sijil siap dan pematuhan (CCC) bagi dua kemudahan atau kilang pembuatan teras milik pemohon.

 

Selain itu, KAF Investment Bank turut didapati melanggar Peraturan 2.18(1) ACE LR kerana gagal memastikan pakej konsultasi pra-kemasukan dan draf prospektus yang dikemukakan kepada Bursa Malaysia Securities adalah tepat serta tidak mengandungi ketinggalan fakta material atau maklumat yang mengelirukan.

 

Ini susulan kegagalan bank pelaburan itu mendedahkan ketidakpatuhan berkaitan CCC bagi dua kemudahan pembuatan utama pemohon, termasuk fakta bahawa syarikat tersebut sedang dalam proses mendapatkan CCC baharu atau disemak semula.

 

Program penyenaraian tersebut pada mulanya diteruskan berdasarkan maklumat yang dikemukakan dalam dokumen pra-kemasukan dan draf prospektus yang menyatakan bahawa pemohon mematuhi semua undang-undang, peraturan dan keperluan berkaitan operasinya.

 

Bagaimanapun, semakan Bursa Malaysia terhadap pendedahan hartanah material dalam draf prospektus mendapati salah satu kilang pembuatan telah memperoleh CCC yang baharu dikeluarkan.

 

Perkara itu kemudian didedahkan selepas Bursa Malaysia mengemukakan pertanyaan lanjut, dengan peguam usaha wajar mengesahkan kepada pihak berkuasa tempatan bahawa CCC yang disemak semula diperlukan berikutan perubahan terhadap pelan bangunan terdahulu.

 

Berikutan itu, KAF Investment Bank menarik balik permohonan penyenaraian awal sebelum mengemukakan semula permohonan tersebut selepas memperoleh CCC baharu bagi kilang pembuatan yang satu lagi.

 

Bursa Malaysia Securities, KAF Investment Bank sebenarnya telah mengetahui mengenai permohonan CCC baharu atau disemak semula bagi kedua-dua kilang pembuatan itu beberapa bulan sebelum permohonan penyenaraian dikemukakan.

 

Namun, maklumat berkenaan tidak didedahkan dalam pakej konsultasi pra-kemasukan dan draf prospektus yang diserahkan kepada Bursa Malaysia Securities.

 

Sebaliknya, bank pelaburan itu hanya bergantung kepada penilaian kumpulan kerja usaha wajar dan arkitek mengenai kesahihan CCC lama, yang disifatkan sebagai subjektif dan tidak konklusif.

 

Menurut Bursa Malaysia, KAF Investment Bank sepatutnya menjalankan usaha wajar yang lebih menyeluruh termasuk mendapatkan pengesahan bebas daripada pihak berkuasa tempatan memandangkan dua kilang tersebut merupakan aset teras pemohon serta melibatkan ketidakpastian kawal selia mengenai status CCC.

 

“Pelanggaran ini menunjukkan kekurangan ketelusan dan kegagalan serius untuk memenuhi obligasi di bawah peraturan penyenaraian Pasaran ACE, sekali gus menjejaskan integriti proses usaha wajar,” katanya.

 

Dalam pada itu, KAF Investment Bank juga dikehendaki membentangkan keputusan Bursa Malaysia Securities tersebut kepada lembaga pengarahnya serta menjalankan semakan menyeluruh terhadap kecukupan dan keberkesanan dasar, proses serta prosedur dalaman berkaitan peranannya sebagai penasihat dan penaja.

 

Bursa Malaysia menegaskan pihak penaja dan penasihat memainkan peranan penting dalam menilai kesesuaian sesuatu syarikat untuk disenaraikan di Pasaran ACE yang merupakan pasaran berasaskan penaja.

 

Sehubungan itu, semua penaja dan penasihat diingatkan supaya mengekalkan standard integriti, akauntabiliti dan tanggungjawab yang tinggi serta memastikan usaha wajar yang mencukupi dilakukan sebelum sebarang permohonan penyenaraian dikemukakan. - DagangNews.com