Bursa aset digital Hata catat lebih RM1 bilion transaksi pada 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa aset digital Hata catat lebih RM1 bilion transaksi pada 2025

Gambar hiasan Unsplash.com
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 April – Hata.io, bursa aset digital berlesen di Malaysia, mencatatkan jumlah transaksi sebanyak RM1.04 bilion pada 2025.

 

Dalam satu kenyataan, ia memaklumkan jumlah deposit tunai purata bulanan kekal kukuh pada RM16.1 juta, dengan paras tertinggi mencapai RM28.7 juta.

 

“Aktiviti deposit aset digital turut stabil, dengan purata bulanan sebanyak 2.65 juta unit.

 

“Dalam tempoh yang sama, jumlah aset di bawah jagaan meningkat kepada RM115 juta pada September 2025 di platform Hata Malaysia dan Hata Global. Walaupun berdepan turun naik pasaran, pengguna terus memilih Hata sebagai platform dagangan mereka,” katanya dalam kenyataan itu.

 

Empat aset digital utama yang paling banyak didagangkan pada 2025 ialah XRP, Bitcoin, Ethereum dan Solana.

 

Sejak pelancaran pada 2023 hingga akhir 2025, Hata berjaya menarik lebih 209,000 pengguna, menjadikannya bursa tempatan yang paling pesat berkembang.

 

Golongan Milenial dan Generasi Z membentuk 83 peratus daripada pengguna, menunjukkan peningkatan minat golongan muda terhadap aset digital.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Hata, David Low berkata, pencapaian ini mencerminkan kepercayaan pengguna terhadap platform Hata. 

 

“Syarikat komited untuk terus berkhidmat kepada pengguna di Malaysia dan rantau ini dengan menawarkan yuran dagangan yang kompetitif serta memperkukuh keupayaan platform untuk masa depan,” katanya.

 

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Strategi, Darien Ng pula berkata kejayaan Hata membuktikan bahawa inovasi kewangan bertaraf global mampu dibangunkan di Malaysia dengan sokongan kawal selia dan bakat tempatan.

 

“Hata juga berhasrat untuk terus memperkenalkan alat inovatif dan program perkongsian untuk para pengguna dan rakan kongsi, sekali gus membuka lebih banyak peluang bagi rakyat Malaysia dan institusi membina kekayaan digital secara mampan,” katanya. - DagangNews.com