KUALA LUMPUR 31 Mac – Bantuan tunai BUDI Diesel berjumlah RM300 akan mula disalurkan kepada 340,000 penerima BUDI individu dan Agri-Komoditi bermula 8 April 2026, menurut Kementerian Kewangan (MoF).
Ia melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM102 juta.
MoF dalam satu kenyataan memaklumkan pendekatan bersasar itu bertujuan memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan sambil mengekalkan disiplin fiskal negara dalam keadaan tekanan global yang berterusan.
“Bagi individu pemilik kenderaan diesel, bantuan tunai bulanan berjumlah RM200 akan dikekalkan beserta bantuan tambahan interim sebanyak RM100, menjadikan jumlah keseluruhan ialah RM300,” katanya.
Bayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang berdaftar atau secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional bagi yang tiada akaun.
Syarat kelayakan termasuk warganegara Malaysia dengan pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 ke bawah.
Kenderaan diesel mestilah untuk kegunaan persendirian, mempunyai cukai jalan aktif, diisytiharkan di Semenanjung Malaysia, dan berdaftar di JPJ menggunakan nombor MyKad.

Bagi kategori BUDI Agri-Komoditi, bantuan tunai juga dinaikkan dari RM200 kepada RM300 sebulan melalui bantuan tambahan interim RM100 itu.
Bantuan ini diberikan kepada petani, penternak, dan pekebun kecil yang berdaftar dengan kementerian atau agensi berkaitan.
Petani kecil layak sekiranya mereka warganegara Malaysia, berdaftar melalui GeoAgro atau agensi pertanian berkaitan, dan aktif mengusahakan pertanian dengan nilai jualan tahunan RM50,000 hingga RM300,000.
Pekebun kecil pula layak sekiranya berdaftar dengan agensi Kementerian Perladangan & Komoditi, memiliki tanah mengikut keluasan komoditi, dan hasil jualan tahunan antara RM50,000 hingga RM300,000.
Keluasan tanah pekebun kecil sawit dan getah persendirian sehingga 4.5 hektar, manakala koko, lada, dan kenaf sehingga 2.5 hektar.
Bantuan tunai ini diharapkan dapat meringankan beban kos sara hidup serta menyokong pengeluaran pertanian dan perladangan kecil.
Kerajaan menegaskan permohonan perlu dibuat melalui portal rasmi budidiesel.gov.my bagi memastikan pembayaran tepat pada masanya.
Langkah ini juga selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor pertanian dan perladangan.
Dengan kenaikan bantuan ini, pemilik kenderaan diesel dan pengusaha pertanian kecil dijangka dapat mengurus perbelanjaan bulanan dengan lebih baik. - DagangNews.com








