BPMB, Firma Atasan sokong projek perumahan mampu milik di Pulau Pinang menerusi pembiayaan RM18.5 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BPMB, Firma Atasan sokong projek perumahan mampu milik di Pulau Pinang menerusi pembiayaan RM18.5 juta

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 26 Feb - Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan Firma Atasan Sdn Bhd, menandatangani perjanjian Pembiayaan Tawarruq berjumlah RM18.5 juta untuk menyokong fasa pertama Projek Perumahan Mampu Milik Juru Hills, satu inisiatif berskala besar untuk menyediakan rumah mampu milik berkualiti di Pulau Pinang.

 

Pembiayaan itu menyokong agenda perumahan sosial Malaysia, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara. 

 

Ia juga merupakan inisiatif perumahan mampu milik pertama BPMB yang mematuhi prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sektor swasta.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Roni Abdulwahab berkata, pihaknya komited menyokong projek sosioekonomi dan memperkukuh perniagaan tempatan.

 

"Kerjasama dengan Firma Atasan menunjukkan dedikasi kami untuk memudahkan pemilikan rumah, sambil memastikan kelestarian kekal menjadi teras dalam pembangunan bandar," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Eksekutif Firma Atasan, Chew Why Hoong berkata, syarikatnya berusaha menyepadukan kemudahan penting seperti Pusat Pembelajaran Belia dan Rumah Ehsan untuk meningkatkan kesejahteraan penduduk. 

 

"Kami percaya projek ini akan menetapkan standard baharu bagi perumahan mampu milik di Pulau Pinang dan lokasi lain," jelasnya.

 

Projek berkenaan bersama sokongan BPMB, dilaksanakan bagi menangani isu kekurangan rumah yang berterusan di bawah rancangan Penang2030.

 

Walaupun terdapat sasaran untuk menyiapkan rumah mampu milik menjelang 2030, permintaan jangka panjang akan terus meningkat seiring dengan pertambahan penduduk, menekankan keperluan pembangunan perumahan.

 

Majlis menandatangani perjanjian tersebut dihadiri oleh Exco Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Dato’ Seri Sundarajoo a/l Somu, wakil kanan dari BPMB, Firma Atasan dan Kumpulan Harta Intan. - DagangNews.com