Boustead Heavy Industries lupus hartanah di Pulau Jerejak pada harga RM28 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Boustead Heavy Industries lupus hartanah di Pulau Jerejak pada harga RM28 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 31 Mac - Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) melupuskan tiga lot tanah perindustrian bercampur di Pulau Jerejak, Pulau Pinang pada harga RM28 juta bagi memperkukuh kedudukan tunai kumpulan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, anak syarikat milik penuhnya, Boustead Penang Shipyard Sdn Bhd (BPS) telah menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan Karya Koperat Sdn Bhd pada 31 Mac 2026 bagi pelupusan hartanah berkenaan.

 

Tiga lot tanah yang terlibat terletak di Mukim 13, Daerah Timur Laut, Pulau Pinang dan kini dalam keadaan kosong. Hartanah tersebut terletak di Pulau Jerejak, di antara Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

 

BHIC berkata, pelupusan itu dibuat berdasarkan prinsip penjual dan pembeli rela, sejajar dengan nilai pasaran RM28 juta yang ditentukan oleh penilai bebas, Intra Harta Consultants Sdn Bhd pada 31 Disember 2025.

 

“Penilaian dibuat menggunakan kaedah perbandingan dengan mengambil kira transaksi hartanah serupa di kawasan berhampiran,” katanya.

 

Daripada jumlah hasil pelupusan, sebanyak RM25.97 juta akan digunakan bagi keperluan modal kerja dalam tempoh 24 bulan, manakala baki RM2.03 juta diperuntukkan untuk menampung kos berkaitan transaksi tersebut dalam tempoh tiga bulan.

 

Langkah pelupusan ini dijangka membantu BHIC mengoptimumkan aset bukan teras serta meningkatkan kecairan kewangan kumpulan, selaras dengan strategi penstrukturan semula operasi.

 

Urus niaga tersebut juga dilihat mencerminkan nilai pasaran saksama hartanah berkenaan, tanpa melibatkan sebarang diskaun ketara, sekali gus menyokong kedudukan kewangan syarikat dalam jangka sederhana. - DagangNews.com