KUALA LUMPUR 25 Mac - Borneo Oil Bhd, melalui anak syarikat tidak langsungnya, Borneo Oil (Sabah) Sdn Bhd (BOS), memperoleh lesen daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sebagai pembekal dari Sabah.
Borneo Oil berkata, BOS pada masa sama juga sedang mengembangkan asas operasinya bagi menyediakan perkhidmatan yang menyeluruh merangkumi keseluruhan rantaian nilai minyak dan gas, melalui perkongsian strategik dan kerjasama dengan penyedia perkhidmatan teknikal dan peralatan minyak dan gas (OGSE) yang berpengalaman.
Jelas syarikat tersebut, bagi tujuan itu, ia membentuk kerjasama dengan Intercontinental Strait Energy Technology Co Ltd (SETC).
"Kedua-dua pihak bersetuju bekerjasama dalam membida projek-projek yang melibatkan perkhidmatan seperti perundingan dan penyeliaan selain menyediakan perkhidmatan dalam bidang penggerudian, penyiapan, kerja semula dan rangsangan.
"Turut ditawarkan adalah perkhidmatan berkaitan geologi, pemantauan masa nyata, dan pengoptimuman penggerudian," kata Borneo Oil dalam makluman di Bursa Malaysia susulan pemeteraian perjanjian kerjasama dengan SETC pada 20 Mac 2025.
Menurut Borneo Oil, SETC merupakan syarikat perunding pengurusan penggerudian terbesar di China, yang pakar dalam kecekapan penggerudian, penyediaan, pemantauan proses pecahan batu, pengurusan rizab minyak atau gas dan rundingan geologi.
"Syarikat ini komited untuk meningkatkan kecekapan penggerudian, meminimumkan masa dan mengurangkan kos dengan menggunakan sepenuhnya sumber yang canggih," ujarnya.
Borneo Oil juga memaklumkan, pengeluaran minyak dan gas Malaysia adalah sekitar 660,000 tong sehari (bpd) cecair dan tujuh bilion kaki padu standard sehari (MMscf/d) gas.
"Petronas merancang untuk meningkatkan pengeluaran kepada dua juta bpd bagi menampung permintaan domestik minyak yang semakin meningkat. Pada Disember 2023, Malaysia menggunakan kira-kira 929,556 tong minyak sehari," jelasnya.
Borneo Oil berkata, Sabah memiliki anggaran 11 trilion kaki padu gas dan 1.5 bilion tong minyak, yang mewakili 12% daripada gas Malaysia dan 25% daripada rizab minyak Malaysia.
"Sabah kini merupakan pengeluar minyak mentah terbesar di Malaysia dan OGSE menyumbang 20% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah.
"Projek-projek air dalam dijangka mengukuhkan pengeluaran minyak Malaysia dalam dekad akan datang, menjamin kedudukan Sabah sebagai negeri pengeluar minyak utama," katanya. - DagangNews.com








