KUALA LUMPUR 12 Jun - Bank Negara Malaysia (BNM) akan melaksanakan sepenuhnya Program Pelabur Pemastautin Berkelayakan (QRI) bagi syarikat korporat yang layak bermula 1 Julai 2025.
BNM memaklumkan, pelaksanaan itu merupakan sebahagian daripada usaha BNM untuk menggalakkan aliran dana dua hala dalam pasaran pertukaran asing tempatan.
Katanya, program berkenaan akan memudahkan syarikat Malaysia untuk membuat pelaburan terus di luar negara.
"QRI terbuka kepada syarikat Malaysia yang layak dan hanya memerlukan sekali pendaftaran dengan BNM.
"Selepas mendaftar, syarikat boleh melabur di luar negara tanpa perlu memohon kebenaran berulang daripada BNM," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, untuk menikmati kemudahan berkenaan, syarikat perlu menukar dana mata wang asing ke ringgit selepas pendaftaran berjaya.
Pelaksanaan penuh program itu dibuat selepas kejayaan program percubaan yang dimulakan pada April 2024.
Sejak itu, QRI berjaya menjana aliran masuk dana berjumlah lebih RM4.23 bilion daripada syarikat-syarikat ke dalam pasaran kewangan domestik.
"Syarikat yang layak juga perlu mematuhi dasar pertukaran asing BNM dan mengamalkan tadbir urus korporat yang baik," ujarnya.
Program QRI akan ditawarkan sehingga 30 Jun 2028. - DagangNews.com








