BNM kenakan penalti RM1.5 juta ke atas Zurich General Insurance, Takaful langgar peraturan TFS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM kenakan penalti RM1.5 juta ke atas Zurich General Insurance, Takaful langgar peraturan TFS

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 April - Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan penalti monetari pentadbiran (AMP) sebanyak RM1.04 juta ke atas Zurich General Insurance Malaysia Bhd (ZGIMB) dan RM520,000 ke atas Zurich General Takaful Malaysia Bhd (ZGTMB) berikutan ketidakpatuhan terhadap keperluan sekatan kewangan bersasar (TFS) pada 19 Januari.

 

Dalam satu kenyataan pada Rabu, bank pusat itu berkata sebagai institusi pelapor (RI), entiti Zurich dikehendaki mengemas kini pangkalan data sekatan mereka tanpa sebarang kelewatan sebaik sahaja Senarai Domestik diterbitkan.

 

Menurut BNM, semua RI mesti mematuhi keperluan TFS dan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penyeliaan dan/atau penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang gagal memenuhi obligasi undang-undang dan peraturan.

 

RI juga perlu menjalankan saringan sekatan ke atas pelanggan sedia ada, bakal pelanggan dan pelanggan baharu berdasarkan kedua-dua Senarai Domestik dan Senarai Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai sebahagian daripada usaha ketekunan wajar pelanggan.

 

 

 

 

 

 

Selain itu, RI perlu mengenal pasti potensi padanan dan membuat siasatan lanjut bagi menentukan sama ada padanan tersebut adalah padanan sebenar.

 

“Selepas mengenal pasti sebarang padanan sebenar, RI dikehendaki membekukan dana pelanggan dan mengemukakan laporan kepada BNM serta Polis Diraja Malaysia dengan segera. Ini penting bagi melindungi RI dan sistem kewangan secara keseluruhan daripada disalahgunakan untuk aktiviti pembiayaan keganasan,” kata bank pusat itu.

 

BNM berkata pelanggaran tersebut dikenal pasti berdasarkan laporan Zurich berkaitan proses pengambilan beberapa entiti tertentu yang tersenarai dalam Senarai Domestik sebagai pelanggan, berpunca daripada kegagalan mengemas kini pangkalan data sekatan dengan segera sehingga menyebabkan saringan dilakukan menggunakan maklumat yang tidak terkini.

 

Tambahnya, Zurich juga gagal mengenal pasti potensi padanan dan menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan sama ada ia merupakan padanan sebenar.

 

Selain itu, ZGIMB gagal membekukan dana serta melaporkan kepada BNM dengan segera selepas mendapati ia memiliki atau mengawal dana yang berkaitan dengan satu entiti yang tersenarai.

 

Kelemahan Sistem Saringan

BNM menyatakan pelanggaran tersebut berpunca daripada kelemahan dalam sistem saringan sekatan dan prosedur operasi standard Zurich, selain kekurangan pengawasan dan kesedaran dalam kalangan kakitangan.

 

Zurich sejak itu telah mengambil langkah pembetulan termasuk menambah baik prosedur serta menjalankan latihan penyegaran kepada kakitangan berkaitan bagi memperkukuh pematuhan terhadap keperluan TFS.

 

Dalam menentukan jumlah penalti, BNM mengambil kira faktor yang memburukkan dan meringankan termasuk tahap keseriusan pelanggaran, kegagalan mengambil langkah berhati-hati yang munasabah dalam memastikan pematuhan, rekod pematuhan terdahulu serta tindakan selepas pelanggaran termasuk keberkesanan langkah pembetulan.

 

ZGIMB telah membayar penalti sebanyak RM1.04 juta manakala ZGTMB sebanyak RM520,000 pada 26 Januari berhubung penalti yang dikenakan.

 

 

 

 

 

 

 

Tindakan Perkukuh Pengawasan 

Sementara itu Zurich Malaysia dalam kenyataan hari ini mengambil maklum notis awam yang dikeluarkan oleh BNM berkaitan proses saringan sekatannya pada tahun 2022.

 

Zurich Malaysia telah bekerjasama rapat dengan BNM untuk menangani jurang tersebut dan sejak itu telah mengambil tindakan yang diperlukan bagi memperkukuh lagi aspek pengawasan, bagi memastikan proses syarikat boleh dipercayai dan kukuh dalam memenuhi tuntutan kawal selia.

 

"Zurich Malaysia kekal teguh dalam komitmennya untuk menegakkan piawaian pematuhan tertinggi serta melindungi kepentingan pelanggan, rakan kongsi dan pihak berkepentingan. Zurich Malaysia menghargai kepercayaan dan keyakinan berterusan yang diberikan kepada kami," katanya dalam kenyataan itu. - DagangNews.com