Blueshark, iMotorbike lancar program tukar beli motosikal lama kepada EV baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Blueshark, iMotorbike lancar program tukar beli motosikal lama kepada EV baharu

Kerjasama antara Blueshark dan iMotorbike adalah strategik dalam memperkukuh ekosistem pemilikan motosikal yang lebih telus, mudah dan mesra pengguna di Malaysia
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 April – Blueshark Malaysia Sdn Bhd bersama iMotorbike melancarkan Program ‘ReCycle Trade- In’ sebagai usaha mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam kalangan penunggang motosikal di Malaysia.

 

Program berkenaan membolehkan pemilik motosikal lama sama ada enjin pembakaran dalaman (ICE) atau motosikal elektrik lama menukar kenderaan mereka kepada motosikal elektrik baharu keluaran Blueshark atau SoloEra melalui proses tukar beli yang lebih mudah dan telus.

 

Melalui kerjasama ini, proses penilaian motosikal lama akan dikendalikan oleh iMotorbike yang menawarkan penilaian harga secara pantas dan kompetitif berdasarkan keadaan serta spesifikasi motosikal pelanggan.

 

Selepas penilaian awal dibuat secara dalam talian, pemilik motosikal perlu membawa kenderaan mereka ke pusat pemeriksaan iMotorbike untuk pengesahan nilai akhir sebelum urusan tukar beli dimuktamadkan.

 

Nilai motosikal lama tersebut kemudiannya akan ditolak terus daripada harga pembelian motosikal elektrik baharu, sekali gus mengurangkan beban kos kepada pengguna yang ingin beralih kepada mobiliti hijau.

 

Selain itu, pelanggan yang menyertai program ini turut menerima insentif tambahan termasuk e-baucar Setel bernilai antara RM200 hingga RM400 bergantung kepada model motosikal, selain pelbagai hadiah promosi terhad daripada Blueshark.

 

Menurut Blueshark Malaysia Sdn Bhd, program ini diwujudkan bagi mengurangkan kekangan pengguna yang ingin beralih kepada motosikal elektrik tetapi masih memiliki motosikal lama yang sukar dijual atau dilupuskan.

 

Sementara itu, iMotorbike menyifatkan kerjasama ini sebagai langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem pemilikan motosikal yang lebih telus, mudah dan mesra pengguna di Malaysia.

 

Kedua-dua pihak menyasarkan inisiatif ini bukan sahaja memudahkan proses pemilikan EV, tetapi turut menyokong agenda kelestarian negara dengan mengurangkan pelepasan karbon melalui penggantian motosikal lama kepada teknologi lebih bersih.

 

Program ReCycle Trade-in ini telah mula ditawarkan pada April 2026 di pusat jualan Blueshark dan rangkaian iMotorbike di seluruh negara, dengan maklumat lanjut boleh diperoleh melalui saluran rasmi kedua-dua syarikat. - DagangNews.com