Blackmores muncul produk kesihatan pertama Australia terima sijil halal Jakim | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Blackmores muncul produk kesihatan pertama Australia terima sijil halal Jakim

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Feb — Blackmores Malaysia mengumumkan kejayaannya sebagai jenama kesihatan semula jadi buatan Australia yang pertama memperoleh Pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

 

Pencapaian hebat itu mengukuhkan komitmen Blackmores dalam menyediakan produk beretika dan bermutu tinggi yang bukan sahaja memenuhi keperluan tuntutan agama bagi masyarakat Islam tetapi juga semua pengguna lain.

 

Ia turut diharapkan dapat meningkatkan kepercayaan pelanggan dan mengesahkan kesungguhan Blackmores sendiri terhadap aspek ketelusan, kecemerlangan dan kemampanan dalam setiap aspek perniagaan syarikat.

 

Sijil disampaikan oleh Ketua Perundingan dan Penasihat Halal dari Halal Development Corporation Berhad (HDC), Dhaliff Anuar kepada Pengurus Negara Blackmores bagi Malaysia & Singapura, Kumaran Chandrasergaran.

 

Menurut kenyataan Blackmores, selain memenuhi tanggungjawab, pensijilan itu membuktikan dedikasi syarikat tersebut terhadap piawaian keselamatan yang ketat, sumber bahan yang telus dan pembuatan yang mampan.

 

Ia juga menyerlahkan fokus jenama Australia itu terhadap amalan buruh beretika, kemampanan alam sekitar dan kebajikan haiwan dalam usaha memastikan produknya memenuhi tahap piawaian global yang paling tinggi.

 

“Bagi kami, pensijilan ini bukan sekadar soal pematuhan; ia mencerminkan komitmen terhadap ketelusan, penyumberan beretika dan integriti dalam setiap aspek perniagaan daripada ramuan hingga pembungkusan,” kata Kumaran.

 

Usaha itu tambahnya, adalah langkah penting dalam memperkukuhkan kepercayaan pengguna dan bagi pelanggan beragama Islam, pensijilan ini meningkatkan keyakinan mereka menggunakan produk selari pegangan mereka.

 

Dengan permintaan semakin meningkat untuk produk diperakui halal di Malaysia, pensijilan ini membuka peluang pertumbuhan lebih besar untuk Blackmores mengukuhkan kedudukan jenama itu dalam pasaran kesihatan.

 

Blackmores ujar Kumaran, kekal komited untuk memenuhi keperluan pengguna yang berubah-ubah dengan menyediakan penyelesaian kesihatan holistik yang menyumbang kepada kesejahteraan keseluruhan masyarakat.

 

Sementara itu Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke berkata, pencapaian ini mencerminkan hubungan erat dengan Malaysia, sekali gus menyerlahkan komitmen negara itu terhadap kualiti piawaian Malaysia.

 

"Kejayaan Blackmores dalam memperoleh pensijilan halal Jakim menjadi bukti jalinan kerjasama semakin kukuh antara kedua-dua negara, yang memberi manfaat kepada perniagaan dan pengguna,” katanya. - DagangNews.com