KUALA LUMPUR 10 Feb – Kilang Bio Eneco Sdn Bhd yang baru beroperasi di Gebeng di Pahang mampu memproses sehingga 20,000 tan hasil sisa kelapa sawit sebulan dengan hasilnya disasarkan untuk dieksport ke Jepun, Thailand dan Filipina.
Bio Eneco merupakan anak syarikat milik penuh Eldridge Energy Holdings Bhd yang memberi tumpuan kepada pembuatan dan perdagangan produk bahan api biojisim, khususnya menggunakan sisa industri tempurung isirung sawit (PKS).
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Eldridge Energy Yeo Hock Cheong berkata pemilihan lokasi kilang itu dibuat berikutan kedudukannya yang hampir dengan pelabuhan sekali gus membolehkan kecekapan logistik, pengendalian eksport yang teratur selain penghantaran berskala besar secara konsisten.
“Gebeng merupakan lokasi kilang ketiga selepas di Telok Gong dan Kapar di Klang, selangor dan kami akan membuka kilang seterusnya di Pasir Gudang, Johor yang dijangka beroperasi pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian kilang berkenaan yang disempurnakan oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Gebeng, semalam.
Yeo berkata kilang yang mula beroperasi tahun lepas itu dibangunkan berlandaskan prinsip yang jelas iaitu kualiti tanpa kompromi dan pelaksanaan yang berdisiplin.
Sementara itu, Eldridge Energy dalam satu kenyataan berkata, perkembangan ini merupakan sebahagian daripada program perbelanjaan modal syarikat berjumlah RM68.14 juta.
Ia seperti yang dinyatakan dalam prospektus kumpulan iaitu untuk menubuhkan rangkaian kemudahan pemprosesan biojisim baharu di seluruh Kuantan, Pasir Gudang, dan Lahad Datu.
“Pelaburan ini mencerminkan pengurusan hasil tawaran awam permulaan (IPO) yang berdisiplin dan strategik oleh kumpulan bagi meningkatkan keupayaan pemprosesan, memperkukuh kesiapsiagaan bekalan dan menyokong pertumbuhan lestari jangka panjang,” kata kenyataan tersebut.
Kemudahan Gebeng merupakan tonggak utama dalam strategi jangka panjang kumpulan untuk membina platform biojisim berkualiti tinggi yang berorientasikan eksport selaras dengan peralihan tenaga global yang semakin berkembang pesat.
Direka untuk menghasilkan PKS gred eksport, kemudahan ini disahkan di bawah Green Gold Label (GGL) yang diiktiraf antarabangsa.
Ia mencerminkan komitmen Elridge Energy terhadap piawaian kelestarian yang ketat, kebolehkesanan rantaian bekalan sepenuhnya dan integrity data karbon yang kukuh dari sumber hingga ke pasaran akhir. -- BERNAMA








