Bintai Kinden menang subkontrak RM25.7 juta projek pembangunan 8 kilang di Kulai | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bintai Kinden menang subkontrak RM25.7 juta projek pembangunan 8 kilang di Kulai

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 18 MacBintai Kinden Corporation Berhad memperoleh subkontrak berjumlah RM25.7 juta bagi kerja mekanikal dan elektrikal (M&E) serta saliran untuk lapan buah kilang di Kulai, Johor.


Kumpulan tersebut berkata, kontrak pembangunan hartanah berkenaan diterima melalui anak syarikat milik penuhnya, Kejuruteraan Bintai Kindenko Sdn Bhd, daripada IED Construction Sdn Bhd.


Tender melibatkan kerja M&E bernilai RM17.93 juta dan kerja saliran bernilai RM7.74 juta bagi projek pembangunan di Golden Valley Hi-Tech Park yang dimajukan Golden Valley Capital Sdn Bhd.


"Kedua-dua kontrak ini akan bermula pada 24 Mac 2026, dengan tempoh pelaksanaan masing-masing selama lapan bulan bagi kerja M&E dan enam bulan untuk kerja saliran," kata Bintai Kinden.


Tambahnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, projek terbaharu berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tiga suku kewangan akan datang.


Di samping itu jelasnya lagi, syarikat tersebut tidak menjangkakan terdapat sebarang risiko luar biasa selain daripada risiko operasi dan perniagaan biasa sepanjang pelaksanaan projek berkenaan.


Pada masa sama, tiada pengarah atau pemegang saham utama Bintai Kinde mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam subkontrak tersebut. - DagangNews.com